Ad

Friday, 17 June 2016

Iniesta puji semangat La Roja

 
 PEMAIN Sepanyol, Andres Iniesta (kiri) mengawal bola dari pemain Turki, Oguzhan Ozyakup pada aksi perlawanan Euro 2016, awal pagi tadi. - Foto REUTERS NICE: Bintang Barcelona, Andres Iniesta memuji semangat juang tinggi yang ditunjukkan rakan sepasukannya selepas mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Turki, awal pagi tadi.

Kemenangan kedua berturut-turut diraih juara bertahan Eropah itu, sekali gus menyaksikan mereka menempah tempat ke pusingan 16 terakhir Euro 2016. Pada perlawanan itu, dua gol disumbangkan bintang Juventus Alvaro Morata dan jaringan antarabangsa pertama dari Nolito membolehkan skuad Vicente del Bosque mengungguli Kumpulan D. "Kami menunjukkan mentaliti kemenangan dan semangat pasukan yang hebat malam ini," kata Andres Iniesta yang dianugerahkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

"Ia bergantung kepada diri kita sejauh mana kita akan mara di sini, perasaan kami adalah sangat positif pada masa ini." Turki juga boleh berdepan hukuman UEFA selepas kumpulan penyokong mereka menyalakan suar dan membaling mercun ke padang selepas perlawanan berakhir. Sepanyol yang memburu kejuaraan Euro buat kali ketiga berturut-turut boleh kekal di kedudukan teratas kumpulan dengan hanya meraih keputusan seri menentang Croatia pada perlawanan terakhir, Rabu ini. 

Turki pula perlu menewaskan Republik Czech pada perlawanan terakhir mereka sambil mengharapkan keputusan lain untuk mendapat peluang mara sebagai salah satu daripada empat pasukan tangga ketiga terbaik daripada enam kumpulan. "Kami sudah mencapai objektif pertama kami, untuk layak ke pusingan seterusnya, kami mengawal permainan hampir sepanjang 90 minit dan kami menjaringkan gol, jadi ia adalah sempurna," kata Del Bosque. "Tetapi kami tidak menang apa-apa lagi, kami berada pada kedudukan yang baik namun perjalanan masih jauh," katanya. - AFP

Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/165634



No comments:

Post a Comment