Ad

Tuesday, 14 June 2016

Magis tiga sentuhan

Lille, Perancis: Bastian Schweinsteiger hanya memerlukan tiga sentuhan untuk menjaringkan gol bagi membantu juara dunia Jerman memulakan kempen Euro 2016 dengan kemenangan 2-0 ke atas Ukraine, awal pagi semalam.

Pemain tengah Manchester United berusia 31 tahun itu masuk pada minit ke-90 dan menyempurnakan hantaran tepat Mesut Ozil untuk gol kedua pasukannya.

Dengan keganasan penyokong menghantui kejohanan itu, kemenangan Jerman menyusul selepas Poland mengalahkan Ireland Utara dan Croatia menang ke atas Turki dengan keputusan 1-0.

Schweinsteiger kembali beraksi selepas berehat tiga bulan akibat kecederaan ligamen lutut dan ia jaringan pertama antarabangsanya dalam tempoh lima tahun yang cukup bermakna.

“Saya berlari untuk meraikan jaringan itu kerana saya sudah sukar bernafas.

“Ia sesuatu yang menakjubkan berlaku. Ia perkara yang anda harapkan berlaku tapi apa yang penting adalah kemenangan pasukan,” katanya mengenai jaringan pantas dalam aksi Kumpulan C itu.

Pemain pertahanan Shkodran Mustafi membuka tirai jaringan menerusi tandukan pada babak pertama namun penjaga gol Manuel Neuer terpaksa berhempas-pulas untuk menyelamatkan beberapa percubaan serta Jerome Boateng berjaya mengeluarkan bola di atas garisan gol untuk menafikan gol penyamaan pasukan lawan.

Jurulatih Jerman Joachim Loew memuji Boateng yang menjadi sasaran ahli politik berhaluan kanan Jerman Alexander Gauland bulan ini. Gauland berkata, warga Jerman tidak mahu Boateng menjadi jiran mereka dan pasukan kebangsaan itu bukan lagi seperti Jerman yang dulu.

“Ia bagus untuk memiliki Jerome Boateng sebagai jiran anda di bahagian pertahanan,” kata Loew.

“Situasi itu tampak bahaya, dia bertindak balas dan berjaya mengeluarkan bola sebelum melepasi garisan gol.”

Bagaimanapun pergaduhan penyokong Jerman dan Ukraine sebelum aksi bermula di Lille menjejaskan kemeriahan perlawanan itu. Polis Jerman berkata, mereka berjaya memberkas 21 samseng bola sepak yang tidak dikenali ketika cuba menyeberangi sempadan. Lima puluh lagi suspek turut dikatakan terbabit dalam pergaduhan penyokong Russia dan England di Marseille.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 6:10 AM
 
SCHWEINSTEIGER jaring gol pertama antarabangsa sejak lima tahun.


No comments:

Post a Comment