Ad

Wednesday, 8 June 2016

‘Terus perbaiki kelemahan’

SHAFIQ TINO
8 JUN 2016
 Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee
Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee

Malaysia mara ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 selepas membenam Timor Leste 3-0 di Larkin, kelmarin.
PENGENDALI Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee akan terus melakukan penambahbaikan terhadap skuad kebangsaan susulan kejayaan mara ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 selepas menewaskan Timor Leste 3-0 di Larkin, kelmarin.

Gol daripada Khair Jones, Ahmad Hazwan Bakri dan Chanturu Suppiah mengesahkan kemenangan agregat 6-0 ke atas pasukan Asia Tenggara berkenaan yang dibimbing Fabio Maciel.

“Ia sesuatu yang bagus kerana kita menang, tetapi masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan perbaiki.

“Pasukan masih samar-samar untuk mencari kekuatan, dan saya yakin perlawanan kelayakan serta Piala Suzuki yang berlangsung nanti menjadi ujian sebenar kepada pemain dan pasukan,” kata Kim Swee.

Katanya, beliau mungkin akan mengekalkan skuad sekarang kerana pelbagai faktor di samping mereka juga menunjukkan peningkatan mendadak setiap perlawanan.

“Inilah barisan utama yang kita ada pada masa kini, dan kita akan bawa mereka untuk Siri Jelajah Ocenia bulan ini.

“Kita kena mengkaji semula strategi jika menentang pasukan seperti Thailand seandainya kita gunakan attacking full-backs (Azrif Nasrulhaq dan Khair) di bahagian tengah,” katanya.

Kemenangan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos  itu membolehkan skuad negara mara dalam kelompok 24 pasukan terbaik merebut 12 tempat ke pusingan akhir pertandingan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2019.

Sementara itu, pemain tengah Harimau Malaysia, Brendan Gan berkata, semua pemain skuad kebangsaan telah mempamerkan aksi terbaik sepanjang perlawanan dan berbangga dapat mengekalkan jumlah jaringan besar ke atas lawan.

Brendan juga turut menyangkal perbezaan kelab menjadi punca pemain gagal mendapat keserasian.

“Kita bermain seperti satu pasukan dan mengikut segala percaturan diberikan jurulatih. Perbezaan kelab langsung tidak memberikan masalah kepada kami untuk mencari keserasian dan gaya permainan yang bagus.

“Buktinya, enam gol dapat dihasilkan dalam dua perlawanan. Kelab adalah kelab tetapi semasa kami menyarung jersi negara, potensi dan kesungguhan yang diberikan akan sentiasa 110 peratus,” katanya.

SUMBER-SINA HARIAN ONLINE 8 JUN 2016

No comments:

Post a Comment