Aziman Rosdi-aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat masih berpeluang bersama skuad Harimau Malaysia dalam baki aksi Jelajah Oceania 2016 selepas urusan pembayaran tunggakan cukai pendapatan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selesai.
Pengesahan itu dibuat Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang menjelaskan penjaga gol berusia 27 tahun itu tidak dapat bersama pasukan ke Brisbane, Australia pada 11 Jun lalu kerana dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara oleh Jabatan Imigresen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Kerana masalah itu, Khairul Fahmi atau turut dikenali sebagai Apek tidak beraksi ketika skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tumpas 0-2 kepada Papua New Guinea di Port Moresby, Jumaat lalu kerana perlu menyelesaikan urusan pembayaran itu terlebih dulu.
“Khairul Fahmi sudah menyatakan dia akan menyelesaikan masalah berkenaan supaya dapat menyertai pasukan untuk baki perlawanan dalam siri Jelajah Oceania 2016.
“Justeru bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku pada masa akan datang, pihak persatuan ingin menasihatkan pemain supaya lebih prihatin terhadap perkara yang boleh menyebabkan mereka dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara sehingga menimbulkan kesulitan pergerakan pasukan ke luar negara.
“Pada masa sama, pihak persatuan sendiri akan turut lebih teliti serta mengambil inisiatif untuk membantu menyemak status sekatan perjalanan ke luar negara setiap pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat dan perlawanan persahabatan di luar negara,” kata Hamidin dalam kenyataan dikeluarkan semalam.
Biarpun terlepas satu perlawanan, Khairul Fahmi masih dapat bersama Harimau Malaysia sekurang-kurangnya bagi aksi menentang Fiji di Nadi pada 26 Jun ini kerana aksi dengan New Caledonia di Noumea esok kemungkinan terlalu singkat buatnya.
Ketiadaan penjaga gol Kelantan itu bagaimanapun tidak memberi masalah besar buat Kim Swee yang masih mempunyai dua pemain, Izham Tarmizi Roslan dari Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Farhan Abu Bakar (Kedah) yang diturunkan ketika menentang Papua New Guinea.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 8:24 AM
No comments:
Post a Comment