Oleh MUHAMMAD RIDUAN MOHD.
HANAFIAH
DUA pemain bola sepak tempatan
didapati positif ujian doping selepas berakhirnya perlawanan Liga Super antara
Perak menentang skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Hang Jebat,
Melaka pada 4 Mei lalu.
Berita mengejutkan itu disahkan
oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin (gambar) semalam, namun beliau
enggan mendedahkan nama dua pemain yang terlibat.
Bagaimanapun Abdul Aziz
menjelaskan, pemain yang didapati terlibat adalah masing-masing mewakili
pasukan Liga Super Perak dan PDRM.
Mereka didapati mengambil bahan
terlarang jenis D-methamphetamine.
“Hasil ujian yang telah
dijalankan, dua pemain berkenaan telah didapati menggunakan bahan terlarang
jenis D-methamphetamine.
“Keputusan ini adalah sah dari
segi prosedur antidoping Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan ujian yang
dilakukan itu juga mengikut standard ujian makmal antarabangsa. Jelas didapati
kedua-dua pemain yang terlibat telah melanggar peraturan antidoping AFC 2015.
“Sekiranya pemain meragui
keputusan ujian tersebut mereka berhak memohon untuk membuat ujian pada sampel
B.
“Bagaimanapun, pihak FAM
memberi tempoh sehingga 16 Jun untuk melakukan ujian sampel B,” kata Abdul
Aziz dalam satu kenyataan semalam.
D-methamphetamine merupakan
sejenis dadah perangsang yang tersenarai dalam bahan larangan Agensi Antidoping
Dunia (WADA).
Pemain dan pegawai berhak untuk
melihat ujian sampel B yang akan dijalankan kemudian dengan segala kos adalah
ditanggung pihak terlibat.
“Pemain ini akan digantung
sementara oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM sehingga satu keputusan yang sahih
diperoleh.
“Identiti pemain berkenaan
tidak akan didedahkan buat sementara waktu. Kita memberi mereka tempoh untuk
membuat rayuan terhadap keputusan itu.
Mungkin nama pemain terbabit
akan diumumkan setelah Jawatankuasa Tatatertib FAM memanggil mereka untuk
memberi keterangan,” tambahnya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4BPZ0b0zz
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment