MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY
13 JUN 2016
Ong Kim Swee Ong Kim Swee
KETUA jurulatih kebangsaan,
Datuk Ong Kim Swee akan menggunakan tiga perlawanan persahabatan antarabangsa
menentang Papua New Guinea, New Caledonia dan Fiji pada Jelajah Oceania 2016
sebagai medan memperbaiki ranking skuad negara, lapor MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY.
Menurutnya, selain memperbaiki
ranking, Jelajah Oceania ini juga bakal menjadi medium persediaan bagi
menghadapi Piala Suzuki AFF 2016 pada penghujung November ini.
“Jelajah Oceania ini penting
bukan saja untuk mendapatkan keputusan positif tetapi juga memperbaiki ranking
skuad negara. Malah saya akan mendapat hampir 20 hari bersama untuk membentuk
‘team building’ di kalangan pemain
“Ini kerana, selepas ini,
pemain hanya dapat dikumpulkan untuk tempoh seminggu sebelum perlawanan untuk
tarikh ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada September dan
Oktober,” katanya.
Malaysia dijadualkan menentang
Papua New Guinea pada 17 Jun, New Caledonia pada 22 Jun disusuli aksi ketiga
dan terakhir menentang Fiji pada 26 Jun.
“Bagi saya, ketiga-tiga pasukan
ini bukan mudah. Kita tahu kedudukan negara mereka yang agak jauh antara satu
sama lain dan juga dengan benua lain.
“Jika sebelum ini mereka main
banyak perlawanan, sudah tentu ranking mereka lebih tinggi. Jadi untuk tiga
aksi ini, kita harus dalam tahap terbaik untuk mendapatkan keputusan positif,”
katanya.
Pada ketika ini, Harimau
Malaysia berada di kedudukan ke-173 dunia dan berpeluang ke kedudukan lebih
baik sekiranya menang menentang ketiga-tiga pasukan itu.
Malah, skuad negara juga boleh
melompat ke ranking lebih baik apabila turut dijadualkan menentang Singapura,
Thailand, Indonesia dan Afghanistan dalam perlawanan persahabatan selepas
Jelajah Oceania berakhir.
Sementara itu, Kim Swee
mengekalkan kesemua 24 pemain yang menganggotai skuad Harimau Malaysia ke
Jelajah Oceania termasuk Zaquan Adha Abdul Radzak (JDT II) dan Mahalli Jasuli
(JDT) yang sebelum ini dipanggil bagi mengisi tempat R Gopinathan (Selangor)
dan Matthew Davies (Pahang) serta kapten, Safiq Rahim (JDT) yang ketiga-tiganya
terpaksa diketepikan kerana kecederaan.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 13
JUN 2016
No comments:
Post a Comment