WARTAWAN SINAR HARIAN
25 JUN 2016
Cabaran getir Malaysia Kim Swee memberi arahan kepada pemain semasa sesi latihan di Nadi, Fiji. - Foto FAM
PENGENDALI Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mengakui skuad bimbingannya akan berdepan cabaran getir pada perlawanan terakhir siri Jelajah Oceania menentang Fiji, di Prince Charles Park, Nadi esok, lapor NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH.
Ini kerana katanya, selain bermain dalam keadaan cuaca agak panas dan kualiti padang yang buruk, pemain negara juga akan menentang pasukan yang cukup bagus walaupun kedudukan ranking skuad kebangsaan berada lebih jauh berbanding mereka.
Malaysia menghuni ranking ke-173 manakala Fiji ke-186 dunia.
“Difahamkan, Fiji yang layak ke Sukan Olimpik Rio akan menurunkan hampir sebahagian pemain terbaik pada perlawanan itu.
“Ini pasti menyukarkan kita di mana kami bukan sahaja akan bermain di gelanggang lawan, tetapi juga beraksi pada jam 2 petang.
“Bagaimanapun saya harap pemain negara mampu buktikan itu bukan masalah untuk kita meraih keputusan positif,” katanya.
Dalam pada itu, Kim Swee memberitahu yang beliau belum memutuskan barisan pemain yang akan diturunkan pada perlawanan tersebut.
“Saya mungkin akan menurunkan beberapa pemain yang masih belum diturunkan seperti S Kumaahran dan Muhamad Amirul Hisyam Awang Kechik. Saya mahu memberikan ruang kepada mereka kerana penting bagi saya menilai kesemua pemain secara lebih jelas.
“Apapun, semuanya bergantung keadaan pemain dan masa perlawanan nanti,” katanya yang menjangkakan keupayaan Fiji dilihat hampir menyamai New Caledonia dan Papua New Guinea.
Sumber-sinar Harian online 25 JUN 2016
No comments:
Post a Comment