Ad

Tuesday, 21 June 2016

PERAYAAN JUBLI INTAN MAKTAB MELAYU KUALA KANGSAR

Pada hari ini 21.6.1980, Maktab Melayu Kuala Kangsar telah merayakan Jubli Intan. Majlis perayaan Jubli Intan ini turut dihadiri oleh murid-murid tua maktab, termasuklah Seri Paduka Yang diPertuan Agong, Sultan Ahmad Shah. Sebagai salah seorang bekas pelajar maktab tersebut, baginda dalam ucapannya amat berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai oleh bekas murid-murid maktab itu. Kejayaan bekas murid-murid maktab ini dalam bidang perkhidmatan masyarakat baik dalam jurusan sosial, politik, ekonomi dan bidang-bidang profesional yang lain telah membuktikan bahawa orang-orang Melayu yang berpendidikan tinggi mampu berkhidmat dalam apa jua bidang pun. Menyingkap kembali sejarah penubuhannya Maktab Melayu Kuala Kangsar adalah sebuah institusi perintis kepada kejayaan pendidikan anak-anak Melayu sekarang; di mana Inggeris di suatu masa dahulu beranggapan pendidikan untuk anak-anak Melayu cukup sekadar dapat menjadikan mereka sebagai petani yang baik daripada menjadi seorang pemimpin. Atas kesedaran pemimpin-pemimpin Melayu, terutama Sultan Idris, Sultan Perak dan atas simpati seorang pegawai British bernama R.J. Wilkinson maka tertubuhlah Maktab Melayu Kuala Kangsar.  Sekolah berasrama penuh untuk anak-anak Melayu ini diharapkan dapat memberikan pendidikan moden kepada anak-anak Melayu di samping pelajaran Agama Islam dan Kebudayaan Melayu.  Pelajar-pelajar inilah akan menjadi pegawai-pegawai Pentadbir Melayu dalam pentadbiran Inggeris di negeri-negeri Melayu Bersekutu.  Dari sinilah bermulanya penceburan anak-anak Melayu dalam berbagai-bagai bidang perkhidmatan. Perayaan Jubli Intan Maktab Melayu Kuala Kangsar pada hari ini, mengingatkan semula kepada usaha-usaha meningkatkan pendidikan anak-anak Melayu yang akhirnya dapat memerdekakan negara ini dari penjajahan Inggeris.

No comments:

Post a Comment