Ad

Sunday, 19 June 2016

Lukaku tutup mulut pengkritik

 
LUKAKU (kiri) dikritik hebat ketika Belgium tewas menentang Itali, tampil lebih bertenaga pada aksi awal pagi semalam menentang Rep. Ireland dengan meledak dua gol. Belgium menang 3-0.

BORDEAUX – Penyerang Belgium, Romelu Lukaku membalas kritikan yang dilemparkan terhadapnya sebelum ini dengan meledak dua gol ketika membantu pasukannya itu mencatat kemenangan 3-0 ke atas Republik Ireland pada aksi Kumpulan E Euro 2016 malam kelmarin.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Matmut Atlantique itu, dua gol menerusi Lukaku dan satu lagi gol sumbangan Axel Witsel berjaya menghidupkan peluang Belgium untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

Jurulatih Belgium, Marc Wilmots nyata gembira dengan aksi yang dipamerkan penggempur Everton itu meskipun dikritik hebat sebelum ini apabila gagal menampilkan aksi sebenar ketika tewas 0-2 kepada Itali.

“Dengan adanya Lukaku bersama kami, ia mampu memberi keyakinan kepada pemain lain. Dia menampilkan aksi yang cukup mantap. Ketika dia gagal menja­ringkan gol semasa menentang Itali, ramai pihak mengkritiknya tetapi saya percaya dengan kemampuannya.

“Dia jalankan tugas dengan baik sekali. Dia berlari tanpa henti selama 70 minit dan saya terpaksa mengambil keputusan untuk mengeluarkannya,” kata Wilmots.

Sementara itu, desas-desus yang me­ngatakan pemain Manchester City, Kevin de Bruyne mungkin digugurkan daripada kesebelasan utama kerana gagal beraksi cemerlang ketika bertemu Itali, berjaya memperagakan aksi yang cukup berkualiti.

“Semua pemain beraksi dengan sangat baik hari ini. Pemain-pemain yang diturunkan pada hari ini (kelmarin) merupakan barisan pemain yang tepat untuk pasukan. Bagaimanapun, kami masih belum layak ke pusingan kedua dan perlu bermain mati-matian menentang Sweden,” ujarnya. – Agensi

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0620&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4C4aYXwB3 Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment