25 JUN 2016
Harimau Malaya
KEADAAN padang dan cuaca panas
tidak menjadi halangan utama untuk skuad Harimau Malaysia memburu kemenangan
kedua berdepan Fiji pada perlawanan persahabatan terakhir Jelajah Oceania di
Stadium Prince Charles Park, Nadi, Fiji, esok.
Kapten skuad kebangsaan, Aidil
Zafuan Abdul Radzak berkata, walaupun mereka terpaksa berdepan dengan situasi
sedemikian, beliau yakin rakan sepasukan mampu menampilkan aksi cemerlang
berdepan pasukan ranking ke-186 dunia itu.
"Kita sudah bersedia untuk
aksi esok selepas menjalani latihan selama dua hari dan saya mengharapkan rakan
sepasukan dapat memanfaatkan taktikal yang diberikan jurulatih (Datuk Ong Kim
Swee) sepanjang tempoh latihan diadakan," katanya dalam satu temu bual
selepas latihan singkat skuad kebangsaan di Fiji, hari ini.
"Berdepan pemain muda Fiji
dengan keadaan cuaca panas bukan satu tugas mudah namun saya dan rakan
sepasukan lebih fokus kepada taktikal permainan dan saya lihat para pemain amat
bersemangat untuk aksi menentang Fiji," kata pertahanan tengah Johor Darul
Ta'zim itu.
Rakaman audio temubual
berkenaan diperoleh Bernama daripada pegawai media Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM).
Malaysia yang berada di ranking
ke-173 dunia menerima kecaman hebat daripada peminat bola sepak negara sebelum
ini, setelah kalah mengejut 0-2 kepada pasukan ranking ke-193 dunia, Papua New
Guinea di Stadium Sir John Guise, Port Moresby, Jumaat lepas.
Skuad negara, bagaimanapun
bangkit mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan ranking ke-183 dunia, New
Caledonia di Stadium Numa-Daly Magenta, Noumea, New Caledonia, Rabu lepas. -
Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 25
JUN 2016
No comments:
Post a Comment