Ad

Friday, 26 February 2016

PENUBUHAN PERSATUAN CINA MALAYA (MCA) 27.2.2016

Pada hari ini dalam tahun 1949, Persatuan Cina Malaya (MCA) ditubuhkan. Penubuhannya adalah hasil daripada perjumpaan seramai 300 orang perwakilan Cina dari seluruh Persekutuan Tanah Melayu kecuali Kelantan di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur. Di perhimpunan tersebut, para perwakilan telah memilih 100 orang ahli jawatankuasa pusat dan wakil negeri-negeri. Jawatankuasa pusat dipengerusikan oleh Tan Cheng Lock, Encik Yong Shook Lin dan Encik Leong Chung Lin sebagai Setiausaha Bersama. Bendahari disandang oleh Encik Khoo Teik Ee. Antara jawatankuasa kecil yang dibentuk ialah Jawatankuasa Kecil Perundangan, Jawatankuasa Kecil Kebajikan, Jawatankuasa Kecil Kewangan dan Jawatankuasa Kecil Publisiti. Selain itu, para perwakilan juga bersetuju memilih Kuala Lumpur sebagai ibu pejabat MCA.Di antara matlamat penubuhan MCA ialah:
untuk merapatkan hubungan dikalangan masyarakat Cina dengan masyarakat lain di Tanah Melayu berasaskan semangat muhibah, persefahaman dan kerjasama.
menyatukan orang-orang Cina untuk menentang komunis serta memberi gambaran kepada masyarakat iaitu bukan semua orang Cina berfahaman komunis
untuk menguatkan persatuan dengan tujuan menjadikan MCA sebagai wakil orang-orang Cina dengan kerajaan Inggeris.
Tan Cheng Lock dalam ucapannya mengingatkan masyarakat Cina agar sentiasa memelihara hubungan baik dengan kaum lain dan hendaklah menjauhkan diri dari dipengaruhi oleh Parti Komunis Malaya (PKM). MCA juga turut membantu pihak British memindahkan orang-orang Cina ke Kampung Baru. Penubuhan MCA pada ketika itu telah mendapat sokongan dan galakan yang baik daripada pihak British. Sehubungan itu, pada 12 Jun 1949 perlembagaan pertama MCA telah diluluskan. Walau bagaimanapun, di peringkat awal penubuhannya MCA lebih mirip kepada pertubuhan kebajikan. Namun pada tahun 1952, MCA telah menjadi sebuah pertubuhan politik dan telah dapat menyatukan orang-orang Cina serta memenuhi kekosongan politik di Tanah Melayu. 

Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

No comments:

Post a Comment