Oleh
MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
PARA
pemain Perlis meraikan kejayaan mereka membelasah ATM 6-1 pada aksi pembuka
tirai Liga Premier di Kangar malam kelmarin.
“MASIH
terlalu awal untuk memperkatakan kemampuan Perlis, lagipun masih banyak
kelemahan yang perlu diperbaiki.”
Demikian
tegas ketua jurulatih Perlis, Dollah Salleh yang enggan mendabik dada dengan
kemenangan bergaya pada perlawanan pembukaan Liga Premier musim 2016 selepas
menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 6-1, di Stadium Tuanku Syed Putra,
Kangar kelmarin.
Mengulas
mengenai perlawanan tersebut, Dollah berpendapat bahawa anak-anak buahnya
bernasib baik kerana pasukan lawan masih lagi memikirkan beberapa ‘masalah
dalaman’ yang dihadapi mereka ketika ini, namun menegaskan masih banyak lagi
kelemahan yang perlu diperbaiki dalam misi menjuarai liga musim ini.
“Secara
peribadi, saya terkejut dengan persembahan menarik yang ditonjolkan oleh
anak-anak buahnya terutama pada babak pertama. Namun, saya anggap kami sekadar
bernasib baik atas faktor pasukan lawan mempunyai masalah dalaman selain
beraksi di gelanggang sendiri.
“Bagaimanapun,
saya ingin menjelaskan aksi yang kami pamerkan pada perlawanan itu masih banyak
kelemahan dan belum sempurna lagi,” kata Dollah ketika dihubungi Kosmo!
semalam.
Pada
perlawanan tersebut, skuad yang mendapat jolokan Singa Utara itu mudah meledak
enam gol pada separuh masa pertama menerusi Obinna Nwaneri, Mohd. Alafi Mahmud,
Kayne Vincent (dua gol), Mohd. Afif Amiruddin dan Sadam Hashim sebelum pasukan
The Gladiators mendapat gol saguhati pada babak kedua menerusi Mohd. Zaironi
Yusof.
Dalam
pada itu, Dollah memuji persembahan yang dipersembahkan oleh Vincent dan
menjelaskan aksi seperti itulah yang diharapkan olehnya dan para penyokong
dari bekas penyerang kelab Thailand, Buriram United itu.
“Dia
beraksi dengan baik ketika sesi latihan pra-musim sebelum ini dan kini dia
berjaya membuktikan yang mana dia tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri
dengan liga ini,” jelasnya lagi.
Dalam
perkembangan sama, pengendali berusia 53 tahun itu mahu anak buahnya kekal
fokus kerana perjalanan liga baru sahaja bermula dan memberi tumpuan kepada
perlawanan seterusnya menentang UiTM FC, malam esok.
“Saya
harap keputusan yang dicatatkan pada malam kelmarin bakal memberi ‘batu
loncatan’ kepada para pemain untuk beraksi dengan lebih cemerlang pada
perlawanan kedua menentang UiTM FC.
“Meskipun
beraksi di laman sendiri, saya tidak mahu anak buah memandang rendah kepada
pasukan itu berdasarkan mereka turut mencatatkan keputusan yang
memberangsangkan pada perlawanan pertama lalu,” katanya.
Sebagai
rekod, skuad bimbingan Raja Isa Raja Akram Shah berjaya menundukkan salah
sebuah pasukan pilihan, Sabah 4-1, pada perlawanan pembuka tirai Liga Premier
di Stadium UiTM, Shah Alam kelmarin.SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz406nCrVFd
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment