Ad

Tuesday, 9 February 2016

Tarik paus dengan bot nelayan

Oleh MOHD. IZUAN ROSELI
PASUKAN penyelamat berusaha membawa ikan paus gergasi ke tengah laut dengan menariknya menggunakan sebuah bot nelayan.

PONTIAN – Beratus-ratus penduduk terkejut apabila seekor ikan paus seberat tiga tan ditemui di perairan cetek berdekatan Pantai Rambah di sini semalam.

Ikan paus sepanjang kira-kira 20 meter yang ditemui kira-kira pukul 2 petang itu menarik perhatian penduduk setempat kerana disifatkan cukup unik memandang­kan mamalia itu hanya hidup di kawasan beriklim sejuk seperti selatan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.

Gerakan menyelamatkan ikan paus tersebut dilakukan oleh anggota penyelamat daripada Balai Bomba Pontian dan Jabatan Pertahanan Awam dengan bantuan penduduk.

Ketua Operasi Khidmat Khas, Balai Bomba Pontian Baru, Jumaat Sailan berkata, bot nelayan tempatan digunakan untuk menarik ikan paus yang berada kira-kira 50 meter dari kawasan tebing Pantai Rambah.

“Ikan paus itu masih hidup. Justeru gerakan menyelamatkan mamalia itu dilakukan dengan bantuan penduduk dan nelayan tempatan.

“Kami cuba membawa ikan paus itu ke laut dalam kerana kawasan di tepi pantai Rambah agak cetek.

“Ekor ikan paus itu diikat dengan tali terlebih dulu sebelum ditarik oleh sebuah bot nelayan tempatan ke tengah laut yang mempunyai kedalaman kira-kira 50 meter,” ujarnya.

Jumaat berkata, ikan paus itu berjaya ditarik ke kawasan laut dalam pada pukul 3.30 petang untuk dilepaskan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3zeo5P4Bt Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment