Ad

Thursday, 11 February 2016

Penghijrahan Traore ke Kelantan tak jejas rentak PDRM

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 FEBRUARI 2016
 Penghijrahan Traore ke Kelantan tak jejas rentak PDRM
Penghijrahan Traore ke Kelantan tak jejas rentak PDRM Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama barisan pemain PDRM pada majlis pelancaran dan memperkenalkan pasukan berkenaan. - Foto: BERNAMA

JURULATIH skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd Fauzi Pilus yakin pemain pasukan itu mampu mencapai sasaran sekurang-kurangnya sebuah piala bagi musim 2016.

Selepas membuat rombakan secara besar-besaran, yang memperlihatkan hampir 90 peratus pemain baharu, beliau yakin skuad The Cops mampu mempamerkan prestasi yang cemerlang.

“Dengan rombakan besar-besaran ini, memang cabaran besar tetapi bukan mustahil. Saya dapat lihat pemain yang kami ambil tahun ini begitu komited untuk mencapai mandat yang diberikan oleh pihak pengurusan.

“Selepas mengharungi lebih 10 perlawanan pra musim, kombinasi dan keserasian antara pemain semakin baik. Keputusan perlawanan pra musim hanya penunjuk sahaja, yang penting pemain sendiri menjadi semakin baik dan positif untuk memulakan liga,” katanya.

Selepas menamatkan kempen Liga Super musim lalu di kedudukan keenam dengan 35 mata, PDRM berhasrat mengulangi kecemerlangan tahun 2014 di mana pasukan itu muncul juara Liga Perdana kali kedua selepas kejuaraan sulung pada musim 2007.

Mohd Fauzi, yang mengambil alih sebagai jurulatih selepas Azman Adnan dipecat Julai lalu berikutan prestasi merudum pasukan itu, turut yakin  penghijrahan penjaring terbanyak Liga Super, Dramane Traore ke Kelantan tidak akan menjejaskan prestasi pasukan malah memberikan peluang kepada penyerang tempatan.

“Kami masih ada Ali Ashfaq untuk musim ketiga, tahun lalu dia tenggelam sikit kerana Traore tapi tahun ini dia akan bangkit. Kami juga ada pemain tempatan iaitu Khairul Izuan Abdullah dan Shafiq Jamal yang akan mendapat lebih banyak peluang untuk meningkatkan kualiti penyerang tempatan,” katanya.

Cops turut mendapatkan khidmat tiga lagi pemain import, iaitu pemain import dari Brazil, Andrezinho, pemain kebangsaan Singapura, Safuwan Baharudin dan Souleymane Konate dari Mali untuk melengkapkan kuota import.

Dalam usaha meraih piala, PDRM turut berjaya membawa masuk K Reuben (ATM), Mohd Faizal Muhammad (T-Team), Abdul Latiff Suhaimi dan Qhairul Anwar Roslani (Felda Utd) serta Muhammad Shafiq Jamal dan Muhd Izuan Salahuddin (Sabah) sebelum memulakan kem pra musim di Bangkok pada bulan lalu.

Cops akan memulakan saingan liga musim ini dengan menerima kunjungan pasukan Sarawak, kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K  Rajagobal, pada Sabtu ini sebelum berkunjung ke Kelantan pada 16 Februari.

Sumber-Sinar Harian online  9 FEBRUARI 2016

No comments:

Post a Comment