Ad

Wednesday, 10 February 2016

KAFA, FELDA kunci mulut

Oleh Firdaus Hashim 
firdaushashim@hmetro.com.my
Subang: Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) memberi tempoh selama 90 hari kepada tiga pasukan bermasalah - Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kelantan dan FELDA United - supaya menyelesaikan isu tunggakan gaji dengan segera.


Bagaimanapun, difahamkan, hanya Persatuan Bolasepak ATM (PBATM) yang setakat ini menunjukkan minat membincangkan hal berkenaan manakala dua pasukan lagi masih berdiam diri.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP Kevin Ramalingam berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan menegaskan kegagalan menjelaskan hutang berkenaan bakal menyebabkan mereka berdepan hukuman disingkirkan atau dipotong mata.

Jelasnya, pihaknya bakal mengadakan pertemuan rasmi bersama kelab dan persatuan negeri terbabit dalam tempoh terdekat ini bagi mencari kata sepakat berhubung isu itu.

“Setakat pagi tadi (pagi semalam) cuma PBATM menghubungi saya namun Kelantan dan FELDA belum lagi. Saya akan menghantar surat kepada mereka. Kemudian kami akan tetapkan tarikh supaya diselesaikan dengan pemain.

“Jika pemain dan pasukan bersetuju dengan cadangan baharu bagaimana untuk membayar hutang itu, mereka akan diberikan 90 hari bagi melakukan pembayaran pertama dengan kami akan memantau proses berkenaan.

“Sekiranya mereka gagal (membuat bayaran pertama) dalam tempoh 90 hari, kami tidak akan teragak-agak memotong mata atau menyingkirkan terus pasukan itu dari liga.

“Apa yang penting pengurusan pasukan perlu bertemu dengan pemain untuk berbincang mekanisme pembayaran supaya persetujuan bersama dapat dicapai bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Anugerah Pemain Bulanan Terbaik, di sini, semalam.

Semalam, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) tampil mendedahkan nama tiga pasukan yang masih berdegil melangsaikan tunggakan gaji 21 pemain sebanyak RM4.47 juta musim lalu.

ATM merekodkan jumlah hutang paling tinggi dengan RM3.7 juta yang membabitkan 15 pemain. Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) pula berhutang RM477,000 ke atas lima pemain manakala Kelab Bolasepak FELDA United (FUFC), RM220,000 untuk seorang pemain.

Kevin berkata, kegagalan melunaskan gaji akan memberi imej buruk kepada Liga Malaysia (Liga-M) selain bimbang jika isu itu sampai ke pengetahuan FIFA kelak.

“Sudah tentu apa-apa berita negatif akan memberi kesan (kepada bola sepak negara).

“Liga-M masih dalam proses penswastaan dan ini adalah usaha untuk meletakkan liga kita sebagai produk yang berharga dari segi penajaan dan penyiaran‎,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 8:05 AM
 
DARI kiri, Pengasas Asiana.my, Kamarul Akhir, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail, Kevin, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, Timbalan Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya dan Pengarah MVP Sports Agency Hafizan Halim selepas melancarkan Anugerah Pemain Terbaik bulanan di Hotel Saujana Subang, semalam.

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/113995#sthash.s44Uecso.dpuf

No comments:

Post a Comment