Ad

Wednesday, 10 February 2016

Paus 'Si Corner' disahkan mati

Oleh WAN NOR ZURAIHAH WAN ALI
 
beberapa kakitangan Jabatan Perikanan menolak bangkai ikan paus daripada spesies Sei selepas didaratkan di Jeti Pejabat Perikanan Daerah Batu Pahat semalam.

BATU PAHAT – Seekor ikan paus yang ditemui mati di muara Sungai Sarang Buaya, Semerah dekat sini petang kelmarin disahkan adalah mamalia yang sama seperti yang terdampar di kawasan perairan Pantai Rambah, Pontian pada Isnin lalu.

Ikan paus gergasi itu digelar nelayan sebagai 'Si Corner' kerana tingkah lakunya yang banyak kali berpatah balik ke kawasan cetek di tepi pantai ketika misi menariknya ke tengah laut dijalankan.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Maritim Batu Pahat, Leftenan Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah memberitahu, pihaknya pasti mamalia itu merupakan ikan paus yang sama berdasarkan tali yang dijumpai pada ekornya.

Menurutnya, tali tersebut digunakan ketika operasi menyelamat ikan paus itu yang terdampar di perairan Pantai Rambah dengan menariknya ke tengah laut menggunakan bot nelayan.

“Ikan paus itu dianggarkan berenang sejauh 90 batu nautika dari Pontian sebelum terdampar di muara Sungai Sarang Buaya.
  
SEBAHAGIAN penduduk turut mengambil peluang melihat bangkai ikan paus gergasi secara dekat.

“Paus itu masih hidup ketika ditemui nelayan pada pukul 4 petang semalam (kelmarin) namun didapati mati selepas tersangkut di dalam mendapan lumpur, kira-kira dua jam kemudian,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Johor, Munir Mohd. Nawi berkata, bangkai ikan paus tersebut akan dibawa ke pejabat Jabatan Perikanan Malaysia di sini untuk dibedah siasat.

“Mamalia seberat 15 tan dan berukuran 12 meter panjang tersebut merupakan paus jantan daripada spesies Sei atau nama saintifiknya Balaenoptera Borealis,” ujarnya.

Kosmo! kelmarin melaporkan penduduk Pontian gempar dengan kemunculan seekor ikan paus gergasi yang terdampar kira-kira 50 meter dari Pantai Rambah kira-kira pukul 2 petang pada Isnin lalu.

Ikan paus itu kemudian berjaya ditarik menggunakan bot ke kawasan laut untuk dilepaskan.

Bagaimanapun, seekor ikan paus ditemui mati oleh sekumpulan nelayan di pesisir Pantai Sarang Buaya petang kelmarin.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3zp0sONsI Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment