Ad

Monday 22 February 2016

Genap 92 tahun Empayar Uthmaniyyah runtuh

MARZITA ABDULLAH DAN ISWAN SHAFIQ MAT ISA  |  22 Februari 2016 1:34 AM
Gambar fail, tentera berkuda dan infantri Empayar Islam Uthmaniyyah.
Gambar fail, tentera berkuda dan infantri Empayar Islam Uthmaniyyah. Agensi
Tanggal 3 Mac ini, genap 92 tahun runtuhnya empayar terakhir Islam yang pernah menguasai sebahagian besar benua Asia, Eropah dan Afrika Utara.
Sebahagian besar wilayah takluk Empayar Islam Uthmaniyyah yang bertapak di Turki itu terletak di Asia Barat termasuklah Palestin, Israel, Kuwait, Iraq, Lebanon, Jordan, Syria dan Iran.
Empayar Islam Uthmaniyyah juga pernah menjajah beberapa negara Eropah dan Afrika Utara termasuklah Greece, Hungary, Albania, Armenia, Bosnia-Herzegovina, Bulgaria, Serbia, Kosovo, Arzebaijan, Croatia, Tunisia, Libya, Mesir, Algeria serta beberapa negara lain.
Bertahan selama lebih 600 tahun, empayar itu bagaimanapun akhirnya runtuh disebabkan pelbagai faktor termasuk isu dalaman sehingga menyebabkan anasir luar mudah menerobos dan menghancurkan kegemilangan kerajaan Islam tersebut secara perlahan-lahan.
Kerajaan Uthmaniyyah merupakan kerajaan Islam terakhir yang mengamalkan sistem pemerintahan khalifah selepas kerajaan Umayyah (661 hingga 750 Masihi) dan kerajaan Abasiyyah (752-1258).
Diasaskan oleh Uthman Ertugrul atau dikenali sebagai Osman Ghazi dan Uthman I sekitar tahun 1299, empayar itu melalui beberapa era iaitu penubuhan, perluasan, kekuasaan dan kejatuhan iaitu antara 1683 hingga 1908 sehinggalah zaman pemerintahan khalifah terakhir Abdul Majid II yang berakhir pada 1924.
Selain kejayaan menawan beberapa wilayah menerusi Perang Kosovo dan Perang Salib, kemuncak kejayaan Uthmaniyyah ialah kejayaan menawan Constantinople atau Istanbul di bawah pimpinan Sultan Muhammad ke-II atau Sultan Al-Fateh.
Bagaimanapun, ‘langit tidak selalu cerah’ dan itulah yang berlaku selepas Perang Vienna 1683 yang menyaksikan kekuatan Empayar Uthmaniyyah semakin mengecil dan satu persatu wilayahnya jatuh ke tangan kuasa barat termasuk Britain, Perancis dan Rusia.
Pada masa yang sama, banyak wilayah lain turut bangkit atas semangat nasionalisme menuntut pembebasan daripada kekuasaan Uthmaniyyah termasuk beberapa negara Arab yang ketika itu dimomokkan dengan sentimen menentang ketuanan khalifah yang berbangsa Turki.
Faktor-faktor dalaman seperti perebutan kuasa, pergolakan politik, rasuah, hutang dan kemewahan melampau turut menyumbang kepada kejatuhan empayar itu sehingga muncul satu persatu kuasa yang cuba menjatuhkan mereka.
Faktor lain termasuklah keterlibatan Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama dan Perang Rusia-Turki sehingga menyebabkan pemimpin empayar Islam itu ketika itu digelar ‘The Sick People of Europe’.
Kemudian, muncul pula gerakan baharu yang menyebarkan idea-idea pemodenan dalam masyarakat Turki yang diterajui oleh beberapa tokoh terkenal termasuk seorang pegawai tentera Uthmaniyyah yang juga pengasas Republik Turki moden sekarang iaitu Mustafa Kamal Atarturk.
Mustafa Kamal yang mengepalai sebuah gerakan dikenali The Young Turks dikatakan cuba mengurangkan kuasa Sultan dengan menubuhkan Parlimen dalam usaha menjadikan Turki sebuah negara sekular serta membuat beberapa perubahan radikal terhadap polisi negara itu mengikut acuan Barat.
Justeru, tidak hairanlah sekiranya Turki masih lagi menganggap mereka sebagai negara yang berkuasa walaupun hakikatnya tidak - apabila hasrat mereka untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU) masih belum diterima sehingga kini.
Dalam situasi hari ini pula, boleh dikatakan sebahagian besar daripada negara yang pernah berada di bawah pemerintahan Uthmaniyyah di Asia Barat kini masih bergolak.
Konflik antara Israel dan Palestin telah lama berlarutan hingga menyebabkan beratus ribu nyawa melayang, manakala negara-negara lain seperti Iraq, Libya dan Mesir pula berdepan penentangan rakyatnya sendiri hingga mendorong campur tangan kuasa luar terutamanya Amerika Syarikat (AS) yang mengintai peluang ‘untuk menangguk di air keruh’.
Negara seperti Greece pula berdepan kemelesetan ekonomi yang teruk ekoran krisis hutang yang sangat tinggi, manakala beberapa siri keganasan masih mewarnai Turki dan perang saudara meletus di Syria sehingga menyebabkan ratusan ribu orang awam terkorban.
Kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah membuka laluan kepada kemunculan kuasa baru di rantau Asia Barat seperti Iraq di bawah Saddam Hussein dan Libya di bawah Muammar Gaddafi serta Mesir di bawah Hosni Mubarak dan Syria, namun, kekuasaan semua negara Arab itu berakhir selepas AS menyerang Iraq membawa kepada kejatuhan Saddam Hussein dan kematian Muammar Gaddafi selepas campur tangan barat di Libya dan perang saudara di Syria.
Kini wujud vacuum di Asia Barat dan Turki mula menunjukkan pengaruhnya untuk bangkit semula sebagai satu kuasa di Asia Barat dan begitu juga dengan Arab Saudi dan Iran.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/genap-92-tahun-empayar-uthmaniyyah-runtuh-1.193073#sthash.fzNz5aAh.dpuf

No comments:

Post a Comment