Ad

Friday 5 February 2016

STAR aspirasi Perdana Menteri

 
STAR Jengka yang menggunakan rumput tiruan akan menjadi gelanggang buat Felda United pada kempen Liga Malaysia musim ini.

ASPIRASI Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mewujudkan sebuah stadium khas buat pasukan Felda United dan warga Felda menjadi realiti apabila Stadium Tun Abdul Razak (STAR) di Jengka, kira-kira 106 kilometer dari Pahang telah digunakan secara rasmi malam kelmarin.

Sebagai permulaan, stadium tersebut digunakan untuk mengadakan perlawanan rasmi sulung sempena perlawanan akhir Piala Pengerusi Felda antara pasukan Persatuan Bola Sepak Belia Felda Wilayah Jengka menentang Persatuan Bola Sepak Belia Felda Wilayah Gua Musang.

Pada perlawanan tersebut, pasukan Persatuan Bola Sepak Belia Felda Wilayah Jengka menang 3-1.

Sementara itu, Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad ketika berucap pada majlis perasmian Stadium STAR berkata, stadium yang bernilai RM92 juta itu telah mendapat kelulusan penggunaan pada 13 Januari lepas dan ia mampu memuatkan 25,000 penonton.
 
MOHD. ISA bersalaman dengan para pemain Felda United pada majlis Memperkenalkan Pemain dan Pelancaran Jersi skuad tersebut di STAR Jengka malam kelmarin.

“Pembinaan stadium ini merupakan aspirasi Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan beliau telah meluluskan peruntukan khas untuk membina stadium ini ketika merasmikan Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka pada 7 Julai 2011.

“Hari ini (kelmarin), aspirasi tersebut telah menjadi kenyataan,” jelas Mohd. Isa pada majlis Memperkenalkan Pemain dan Jersi skuad Felda United untuk saingan Liga Malaysia musim ini.

Lebih membanggakan, STAR Jengka dibina khas untuk sukan bola sepak sahaja dan ia memiliki ciri-ciri moden yang menepati spesifikasi ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“STAR Jengka bukan sahaja untuk kegunaan perlawanan bola sepak tempatan malah sangat sesuai untuk dijadikan venue untuk perlawanan antarabangsa,” katanya.

STAR Jengka dilengkapi rumput tiruan yang diimport khas dengan kos pemasangan kira-kira RM2 juta yang biasa digunakan di stadium bola sepak di Eropah.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3zKDqV2Qz Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment