Ad

Thursday 11 February 2016

Banjir di Sarawak bertambah baik, Melaka dan Johor tidak berubah

11 Februari 2016 10:15 AM
Banjir di Sarawak bertambah baik
Banjir di Sarawak bertambah baik
KUALA LUMPUR 11 Feb. - Keadaan banjir di Sarawak semakin baik, manakala Melaka dan Muar di Johor pula tidak berubah, setakat 8 pagi ini.
Di KUCHING, cuaca baik sejak semalam menyaksikan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Sarawak terus berkurangan pagi ini, berbanding malam tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Sarawak, Siti Huzaimah Ibrahim ketika dihubungi berkata, setakat pukul 8 pagi ini, terdapat 5,218 mangsa berlindung di 28 pusat pemindahan, berbanding 5,412 mangsa malam tadi.
Beliau berkata, jumlah pusat pemindahan di daerah Kuching kekal 20 buah, manakala di daerah Bau dan Serian juga kekal dengan masing-masing membuka empat pusat pemindahan.
Menurutnya paras air sungai sekitar Kuching berada di tahap normal, dengan beberapa tempat yang digenangi air semalam didapati sudah surut. Beliau menjangkakan beberapa lagi pusat pemindahan akan ditutup hari ini.
Tinjauan mendapati banyak agensi yang berkaitan dengan pengurusan bencana banjir sibuk meronda di kawasan berhampiran sungai, termasuk dengan menggunakan helikopter dan unit Dron JPAM, untuk memantau keadaan.
Di MELAKA, jumlah mangsa banjir kekal 44 orang daripada 11 keluarga, seperti dilaporkan malam tadi.
Pengarah JPAM Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata semua mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam Durian Tunggal, Alor Gajah dekat sini.
“Banjir semakin surut, namun ada beberapa kawasan di Kampung Belimbing Dalam yang air banjir masih bertakung,” katanya.
Di MUAR, jurucakap jawatankuasa pengurusan banjir daerah Segamat memberitahu, jumlah mangsa di Sekolah Spang Loi kekal 10 orang daripada dua buah keluarga.
Beliau berkata agensi berkaitan antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan, Bomba dan Penyelamat, Jabatan Parit dan Saliran, Polis Diraja
Malaysia, Pejabat Daerah Segamat dan JPAM sendiri terus melakukan pemantauan.
Katanya JPAM dan agensi berkaitan membuat laporan setiap empat jam sekali bagi mengemas kini pemantauan. - BERNAMA

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/banjir-di-sarawak-bertambah-baik-melaka-dan-johor-tidak-berubah-1.189052#sthash.tEoh6trf.dpuf

No comments:

Post a Comment