Ad

Wednesday, 10 February 2016

Huraikan perlaksanaan sistem naungan pada zaman Khulafah al-Rasyidin dan kerajaan Umayyah pada abad ke-7 hingga

Kewujudan sesebuah negara yang dinaungi oleh kerajaan Islam berkait rapat dengan jizyah.Jizyah merupakan cukai politik yang dikenakan ke atas golongan kafir dhimmi.Tujuan pelaksanaan cukai ini adalah sebagai balasan kerajaan Islam melindungi harta dan nyawa orangorang bukan Islam.Sumber jizyah ini sebenamya telah pun dipraktikkan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, namun pelaksanaannya lebih formal pada zaman Khulafa' al-Rasyidin.

      Pelaksanaan cukai jizyah ini sememangnya amat ketara pada zaman Khulafa' al-Rasyidin berikutan banyak ekspedisi dakwah dan ketenteraan dijalankan sama ada dalam mahupun luar Semenanjung Tanah Arab.Melalui ekspedisi yang dijalankan ini, golongan kafir yang enggan menerima agama Islamdiwajibkan membayar jizyah sebagai simbol berada di bawah naungan kerajaan Islam.

      Zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, kejayaan mengalahkan beberapa buah kawasan yang diperintah oleh Parsi di Iraq telah menyebabkan penduduk seperti di Hirah, Anbar dan Ain al-Tamar sanggup membayar jizyah sebagai simbol.berada di bawah naungan kerajaan Islam Madinah.

    Zaman Khalifah Umar bin al-Khattab pula menyaksikan semakin banyak negara menyatakan kesanggupan berada di bawah naungan kerajaan Islam.Mesir contohnya, sanggup berada di bawah naungan kerajaan Islam setelah Amru bin al-As menghapuskan penjajahan Byzantine di sana. Penduduk Baitulmuqaddis melalui pemimpinnya telah menandatangani perjanjian damai dengan Khalifah Umar bin al-Khattab dengan menyatakan kesanggupan membayar jizyah dengan syarat kerajaan Islam memberi jaminan keselamatan jiwa,nyawa, harta benda, jaminan kebebasan beragama serta amalan ibadat bagi semua penduduk di Baitulmuqaddis di samping bersedia menyerahkan segala masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh penduduk BaitulmuQaddis kepada pemerintahan Islam.

   Selain itu, Syam, Palestin dan Jordan turut sama menyatakan kesanggupan membayar jizyah berikutan kejayaan tentera Islam di bawah pimpinan Khalid bin al-Walid dan Abu Ubaidah al-Jarrah mengalahkan Byzantine dalam beberapa siri peperangan.

      Pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan pula, beberapa buah kawasan di utara Afrika menyatakan kesanggupan berada di bawah naungan kerajaan Islam serta sanggup membayar jizyah. Umpamanya, penduduk di kawasan Qairawan, Tripoli dan Nubah.

    Pada zaman kerajaan Umayyah terutama sewaktu pemerintahan Khalifah al-Walid bin Abdul Malik, kejayaan ekspedisi ketenteraan merentasi benua Asia, Afrika dan Eropah telah menyebabkan beberapa buah kawasan menyatakan kesanggupan berada di bawah naungan kerajaan Islam.

      Kempen ketenteraan di India di bawah pimpinan Muhammad al-Qasim, bukan sahaja telah berjaya mengalahkan Raja Dhaha, iaitu pemerintah Sind, malah kemaraan tentera Islam ke Multan telah menyebabkan penduduknya menyerah diri dan bersetuju membayar jizyah dengan kadar  tertentu.

      Begitu juga dengan kejayaan ekspedisi ketenteraan di Asia Tengah, Marw, Karminiyah dan Bukhara. Penduduknya yang enggan menganut agama Islam sanggup membayar jizyah sebagai balasan atau jaminan keselamatan daripada kerajaan Umayyah melalui Gabenomya, Qutaibah bin Muslim dan saudaranya, Bahar bin Muslim.
.
      Di Afrika Utara pula, kejayaan panglima Musa bin Nusair mengalahkan bangsa Barbar dan Zeutes membolehkan beliau menguasai Tangier dan Ceuta sekaligus membolehkan kerajaan Islam memungut cukai jizyah dan menjadi batu loncatan kemaraan tentera Islam ke Andalus.


      Kesimpulannya naungan yang diperoleh daripada kerajaan Islam amnya akan membawa kepada pengiktirafan negara-negara lain termasuk Parsi dan Byzantine meskipun kerajaan ini mempunyai sikap anti-Islam.Melalui hubungan yang dijalankan ini, legasi atau keunggulan kerajaan Islam telah terserlah melangkaui sempadan geografi

No comments:

Post a Comment