TUNKU ISMAIL menyifatkan bola
sepak negara mundur kerana mentaliti semua pihak yang hanya tertumpu kepada
perkara kecil berbanding gambaran yang lebih besar untuk maju ke hadapan.
PEMILIK skuad Johor Darul
Takzim (Johor DT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencabar
mana-mana individu atau organisasi untuk berdebat secara terbuka di kaca
televisyen berhubung isu sukan bola sepak negara.
Tunku Ismail menyatakan pendirian
baginda itu dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi Facebook
Johor DT, Johor Southern Tigers semalam.
Menurut baginda, cabaran
berdebat tersebut ditawarkan kepada mana-mana individu yang tidak puas hati
dengan apa sahaja kenyataan baginda mengenai bola sepak selama ini.
“Saya cabar anda atau mana-mana
pihak berkaitan dengan bola sepak untuk berdepan dan berdebat mengenai polisi,
projek, korupsi dan apa sahaja isu mengenai bola sepak. Di situ anda boleh
membuktikan bahawa saya salah.
“Yang benar adalah benar dan
salah adalah salah. Jangan tidak bersetuju dengan saya kerana anda cemburu
dengan apa yang saya ada dalam hidup dan pencapaian saya. Usah bersetuju dengan
saya jika saya salah. Kehidupan ini mudah,” titah baginda.
Tunku Ismail bertitah, bola
sepak negara semakin mundur bukan hanya disebabkan rasuah tetapi juga kerana
mentaliti semua pihak dalam industri tersebut yang lebih tertumpu kepada
perkara-perkara kecil daripada gambaran yang lebih besar untuk bergerak ke
hadapan.
“Ini adalah mengapa saya tidak
menyokong Usahasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) kerana saya
tahu bahawa mereka hanya boneka kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Kepada segelintir penyokong
bola sepak Malaysia, kelab-kelab, media dan laman media sosial, saya juga
salahkan anda terhadap kemunduran bola sepak negara,” titah baginda.
Titah baginda, berada dalam
penafian tidak akan meletakkan mereka di mana-mana dalam kehidupan. Beberapa
pegawai dan peminat bola sepak Malaysia menafikan hakikat itu tetapi seluruh
dunia mengenali potensi baginda, wawasan dan pencapaiannya.
“Itulah sebabnya mereka sanggup
bekerja dengan saya dan bukan orang lain yang terlibat dalam bola sepak
Malaysia,” titah baginda.
Baginda turut menggesa pasukan
yang terlibat dalam masalah tidak membayar gaji pemain menyelesaikan isu itu
segera kerana pemain merupakan manusia bukan ternakan.
“Untuk Tan Sri Anuar Musa, saya
percaya bahawa anda adalah seorang ahli politik yang berpengalaman dan sudah
tentu anda tahu apa perkara yang betul untuk dilakukan.
“Untuk Datuk Affendi (Hamzah),
Datuk Mokhtar (Ahmad), Datuk Rozabil (Abd. Rahman), Datuk Hamidin (Mohd. Amin)
dan semua Exco FAM, ambil perhatian kepada apa yang saya katakan. Saya
memerhatikan anda,” titah baginda.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3zolEnnTd
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment