Pada hari ini dalam tahun 1968,
Menteri Pertahanan New Zealand, Tuan D.S. Thomson telah menyerahkan dua buah
kapal terbang jenis Devon kepada Tentera Udara Diraja Malaysia dalam satu
upacara di lapangan terbang TUDM di Kuala Lumpur. Timbalan Perdana Menteri, Tun
Abdul Razak bin Dato’ Hussein yang juga Menteri Pertahanan Malaysia menerima
penyerahan kapal terbang yang dihadiahkan oleh kerajaan New Zealand itu.
Sempena upacara penyerahan itu juga satu perbarisan kehormat terdiri dari 50
orang pegawai-pegawai TUDM telah diadakan. Ketika menyerahkan kapal terbang
itu, Tuan Thomson menyatakan bahawa Tentera Udara New Zealand (RNZAF) dan TUDM
mempunyai banyak persamaan dalam bidang tugas masing-masing dan sumbangan kapal
terbang kepada TUDM itu adalah sebagai tanda persahabatan dan hubungan erat di
antara kedua-dua angkatan udara. Manakala Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein
dalam ucapan balasnya menyatakan rasa terima kasih di atas sumbangan itu dan
berharap pihak New Zealand akan terus membantu Malaysia dalam usaha
memperkembangkan tentera udaranya. Dengan wujudnya hubungan erat itu akan dapat
memajukan lagi pertahanan kedua-dua negara khususnya Malaysia yang sedang
berusaha memajukan angkatan udaranya.
SUMBER- http://hids.arkib.gov.my/
No comments:
Post a Comment