Bersama:KAMIL MAJID
Assalamualaikum,
Soalan: Saya ada kemusykilan
tentang sah atau tidak perkahwinan seorang perempuan yang sedang mengandungkan
hasil perzinaan. Mengikut buku teks agama tingkatan 5 dan hujah ustazah saya,
perempuan yang sedang mengandungkan hasil perzinaan dikategorikan sebagai
perempuan yang haram dikahwini sementara.
Betulkah sekiranya mereka
berkahwin, lafaz nikah tersebut adalah tidak sah dan persetubuhan di antara
pasangan mereka adalah zina? Kerana perkahwinan sebegini semakin menjadi-jadi
dan kisah hidup pasangan seperti ini sering dipaparkan di dada umum, tetapi
tidak ada yang menegur tentang sah atau tidak ikatan perkahwinan mereka. Jadi,
adakah saya terlepas sesuatu? Adakah hadis dan dalil yang boleh menerangkan
dengan terperinci tentang situasi tersebut?
Remaja ingin tahu, Melaka.
Jawapan: Saudara, perkahwinan
adalah benih kepada wujudnya masyarakat. Dunia tersusun daripada perkahwinan
dan berumah tangga. Perkahwinan penuh dengan kasih sayang dan bekerjasama untuk
membina kehidupan.
Imam al-Syaukani mengatakan,
orang yang terkenal sebagai penzina sama ada lelaki atau perempuan tidak boleh
berkahwin dengan pasangan yang bukan penzina. Ini berdasarkan keterangan ayat 3
surah al-Nur. Di mana diharamkan orang mukmin berkahwin dengan penzina atau
musyrik. Mereka hanya layak dikahwinkan dengan sesama penzina dan musyrik.
Namun ada satu pengecualian,
bahawa jika kedua-duanya sudah bertaubat sebelum berkahwin (maksud surah
al-Ma`idah ayat 5), mereka dibenarkan berkahwin. Dengan syarat taubat itu
adalah taubat yang bersungguh- sungguh (nasuha). Taubat sebenar dalam maksud
beristighfar, menyesal dan memang tidak lagi melakukan perbuatan keji itu.
Pendapat ini diberikan oleh
Ibnu Umar seperti dinukilkan oleh Syed Sabiq dalam kitabnya Fiqh al-Sunnah
Jilid 2. Pandangan begini dipersetujui sama oleh beberapa imam lain seperti
Ahmad, Ibn Hazam, serta diperakui oleh Ibnu Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim.
Imam Ahmad menambahkan satu
lagi syarat iaitu boleh berkahwin apabila wanita itu habis tempoh edah.
Ertinya, jika mengandung selepas dia bersalin.
Walau bagaimanapun ada mazhab
yang lebih memberi kemudahan seperti mazhab Syafii, Hanafi dan Maliki yang
mengharuskan perkahwinan si penzina lelaki dengan penzina perempuan, justeru
perzinaan tidak menjadi halangan kepada berlakunya akad nikah.
Pendapat ini mentafsirkan
maksud ayat dilarang berkahwin, bukan larangan pengharaman tetapi mencela
perbuatan zina.
Namun mazhab Malik mahu supaya
ada edah agar tidak bercampur nasab keturunan anak haram dengan anak halal
nanti. Berbeza dengan mazhab Hanafi dan Syafii yang tidak mensyaratkan soal
edah itu.
Murid Abu Hanifah bernama Abu
Yusuf pula tetap mahu mensyaratkan edah, iaitu selepas bersalin atas alasan
jangan bercampur benih daripada perzinaan. Ada pula pendapat mengatakan boleh
berkahwin, tetapi tidak boleh bersetubuh kecuali selepas bersalin anak hasil
zina itu.
Walau apa pun, perbuatan zina
adalah perbuatan terkutuk yang menjadi dosa besar. Allah mahukan orang Islam
memakan makanan yang baik dan beristeri atau bersuami dengan pasangan yang
suci.
Berdasarkan soalan saudara, sah
atau tidak perkahwinan mereka yang berzina dan mengandung, ia adalah sah jika
menurut mazhab Syafii seperti dinukilkan oleh Syed Sabiq. Namun dengan penzina
lelaki atau perempuan, tidak patut berlaku perkahwinan dengan mereka yang masih
suci kerana tidak patut lelaki suci itu menjadi mangsa kepada penzina wanita
dan sebaliknya wanita suci tidak patut menjadi mangsa penzina lelaki.
Penzina sama ada lelaki atau
perempuan mempunyai jiwa yang sakit dan hodoh. Tidak sepatutnya melumurkan
penyakit kejinya kepada pasangan yang bersih. Di dalam Islam, hukum perkahwinan
adalah ingin memberikan kebahagiaan kepada manusia. Bagaimana para penzina
dapat membahagiakan orang lain justeru mereka menjadi punca penyakit berbahaya?
Mereka mungkin membawa HIV dan penyakit kelamin yang kronik yang akan
menjangkiti pihak pasangannya yang sihat itu.
Lebih daripada itu mungkin
mereka menurunkan kepada anaknya nanti akhlak yang jahat atau jasmani yang
rosak dan cacat kerana pembawaan penyakit jasmani atau jiwanya.
Oleh itu, lelaki atau perempuan
yang beradab dan mengikut ajaran nabi Muhammad s.a.w. tidak boleh hidup senang
dan bahagia bersama penzina atau mereka yang hidup menyimpang daripada ajaran
murni.
Perkahwinan sepatutnya
menimbulkan kasih sayang, mawadah dan rahmat. Apakah boleh muncul kesemua itu
daripada pasangan yang jahat, atau fasiq. Wallahualam.
- Prof. Madya Mohamad Kamil Ab.
Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian
Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz41Ygrem3r
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment