Pada hari ini dalam tahun 1950,
satu lagi keganasan bersenjata telah berlaku apabila komunis menyerang dan
membakar Balai Polis Bukit Kepong yang terletak di Muar, Johor. Dalam insiden
serangan ini seramai dua puluh lima orang anggota polis dan orang awam telah
terkorban dalam pertempuran akibat serangan pengganas-pengganas komunis ini.
Mereka ialah tiga Pegawai Polis berpangkat rendah, enam orang polis biasa, tiga
orang polis `Marine', dua orang polis tambahan, lima orang polis bantuan, dua
orang isteri serta dua orang anak polis biasa, dan dua orang awam. Jumlah
tersebut tidak termasuk kemalangan di pihak pengganas komunis, di mana tiga
orang terbunuh dan 17 cedera. Di samping
itu 3 buah bangunan telah musnah iaitu Balai Penghulu, Balai Polis dan Berek Polis.
Serangan telah dimulakan kira-kira jam 5.00 pagi 23 Februari 1950 oleh
segerombolan pengganas komunis seramai 180 orang. Mereka menggunakan senjata-senjata automatik
telah mengepung Balai Polis Bukit Kepong yang ketika itu sedang dikawal oleh 3
orang anggota bertugas. Apabila tembak menembak bermula kesemua anggota
termasuk anak isteri mereka turut membantu dan berjuang hingga ketitisan darah
terakhir. Balai Polis itu tidak berjaya ditawan oleh pengganas-pengganas
komunis tetapi keseluruhan Balai telah dibakar dan mengorbankan nyawa anggota
polis dan keluarga mereka. Mereka tetap mempertahankan Balai ini walaupun tahu
musuh jauh lebih ramai jumlahnya. Pengorbanan yang dilakukan oleh
anggota-anggota polis dengan bantuan orang-orang kampung itu adalah satu
pengorbanan yang tidak ternilai harganya.
Mereka boleh menyelamatkan diri dengan menyerah diri kepada komunis
tetapi terus mempertahankan hak yang jauh lebih mulia dari nyawa mereka, iaitu
demi mengekalkan kebebasan dan menyelamatkan negara ini.
Sumber-http://hids.arkib.gov.my/
No comments:
Post a Comment