Ad

Saturday 6 February 2016

Kini Harimau Malaysia

Skuad bola sepak kebangsaan bukan lagi Harimau Malaya
FADHILUL IZMEL ISHAK  |  03 Februari 2016 12:25 AM

KUALA LUMPUR - Pada satu ketika mungkin rakyat Sabah dan Sarawak berasa tersisih setiap kali laungan Harimau Malaya bergema berikutan gelaran tersebut tidak mewakili dua negeri tersebut, namun mereka sudah tidak perlu berasa sebegitu lagi selepas Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengumumkan Harimau Malaysia sebagai gelaran baharu skuad kebangsaan berkuat kuasa serta-merta.
 
Selepas menggunakan gelaran Harimau Malaya lebih 50 tahun, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah menyifatkan pertukaran nama tersebut amat bertepatan malah berharap ia dapat menyuntik elemen positif kepada pemain, barisan kejurulatihan dan seterusnya penyokong setia skuad kebangsaan.
“Ini nama baharu tapi saya harap dengan adanya nama baharu pemain dan barisan kejurulatihan ada semangat baharu itu yang mustahak.
“Jangan sekadar nama baharu tapi semangat lama. Kita nak semangat berjaya di semua peringkat. Buat permulaan di peringkat Asia Tenggara kemudian Asia. Itu sahaja.
“Saya harap benar dalam masa terdekat pasukan kita dapat melonjak dan beraksi dengan sebaik mungkin baru sesuai dengan nama baharu ini. Saya harap tiada masalah (pertukaran nama) sebab saya fikir kita fokus kepada pasukan kebangsaan untuk bermain dengan lebih baik dan harap sokongan daripada semua pihak.
“Dalam pada sama saya harap Datuk Ong Kim Swee (jurulatih kebangsaan) dapat melakukan sesuatu yang boleh memperbaiki ranking dan meningkatkan mutu permainan kita,” katanya semalam.
Tengku Abdullah ditemui selepas majlis penajaan skuad kebangsaan di ibu negara yang menyaksikan Telekom Malaysia (TM) menjadi penaja utama sehingga 2020, sementara Bank Islam, Nike serta 100 Plus bersetuju meneruskan tajaan.
Pada Februari tahun lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pernah mencadangkan gelaran Harimau Malaysia digunakan untuk menggantikan Harimau Malaya.
Sementara itu, bagi memberi imej baharu kepada skuad negara, FAM melancarkan peraduan mencipta logo Harimau Malaysia yang terbuka kepada seluruh warganegara dengan menawarkan wang tunai RM10,000.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kini-harimau-malaysia-1.186183#sthash.ARpphTsO.dpuf

No comments:

Post a Comment