Selepas pemerintahan Nabi Muhammad
s.a.w. umat Islam diperintah oleh para khalifah yang digelar Khulafa al
Rasyidin. Khalifah-khalifah ini meneruskan dasar pemerintahan dan pentadbiran
baginda dan melaksanakan beberapa pembaharuan. Misalnya, pemerintahan dibahagi
kepada kerajaan pusat dan kerajaan wilayah. Penggubalan dasar-dasar pada
peringkat wilayah adalah selari dengan dasar peringkat pusat dan diamalkan sehingga zaman kerajaan Uthmaniyah.
Kerajaan Khulafa al Rasyidin
terbentuk secara rasmi pada 632M setelah Khalifah Abu Bakar al Siddiq dipilih
oleh umat Islam sebagai khalifah pertama. Kerajaan Turki Uthmaniyah pula
diasaskanUthman bin Ertughrul Sulaiman Shah pada 1280M. Pentadbiran kerajaan
pusat mendominasikan kuasa pemerintahan dan pentadbiran manakala kerajaan
wilayah miliki kuasa autonomi yang terbatas.
Pada zaman Khulafa al Rasyidin,
pentadbiran pusat berpusat di kota Madinah manakala untuk kerajaan Turki
Uthmaniyah berpusat di Istanbul. Antara kerajaan wilayah zaman Khulafa al
Rasyidin ialah Makkah, Baghdad dan Damsyik manakala kerajaan wilayah zaman
Turki Uthmaniyah ialah Madinah, Makkah, Baghdad, Damsyik, Andalus dan Mamluk.
Kuasa tertinggi kerajaan pusat
zaman Khulafa al Rasyidin ialah khalifah manakala ‘Amir’ mengetuai kerajaan
wilayah. Khalifah dipilih melalui syura dan mereka memerintah berdasarkan hukum
syariah berpandukan al Quran dan Sunnah. Pada zaman kerajaan Turki Uthmaniyah,
kuasa tertinggi kerajaan pusat dipegang oleh Sultan manakala Gabenor atau Wazir
mengetuai kerajaan wilayah. Sultan dipilih secara warisan manakala Gabenor
wilayah dilantik oleh Sultan tanpa berdasarkan keturunan. Seperti khalifah,
sultan memerintah berlandaskan syariah Islam
manakala Gabenor memerintah berasaskan panduan yang ditentukan oleh
sultan.
Bagi kedua-dua kerajaan ini,
kerajaan pusat bertanggungjawab dalam segala aspek pentadbiran termasuk
pentadbiran wilayah. Kerajaan pusat akan membantu perbelanjaan kerajaan wilayah
dan sebagai balasannya, kerajaan wilayah akan memberi pelbagai bentuk bantuan
yang diperlukan kerajaan pusat. Misalnya, urusan berkaitan cukai dan bekalan
tentera semasa peperangan.
Kerajaan pusat akan memberi arahan
kepada kerajaan wilayah seperti pembayaran cukai serta bantuan ketenteraan.
Kerajaan wilayah tidak boleh bertindak sendirian tetapi harus mematuhi segala
arahan kerajaan pusat. Khalifah dan Sultan berkuasa melantik dan memecat Amir dan Gabenor/Wazir. Khalifah dan Sultan
akan memerintah sehingga meninggal dunia.
Aspek ekonomi, politik dan sosial
diuruskan oleh kerajaan pusat. Walau bagaimanapun, kerajaan wilayah yang
merupakan bandar-bandar kecil perlu berganding bahu dengan kerajaan pusat demi
menjamin keamanan, kemajuan dan keharmonian rakyat serta negara.
Kesimpulannya, kerajaan pusat dan
kerajaan wilayah mempunyai perbezaan dari pelbagai aspek. Namun kedua-dua
bentuk kerajaan ini perlu saling bekerjasama bagi memastikan pemerintahan dan
pentadbiran negara berjalan dengan lancar dan selamat.
No comments:
Post a Comment