Ad

Friday, 19 February 2016

Kedah, JDT berpesta gol

FADHILUL IZMEL ISHAK  |  20 Februari 2016 1:59 AM
Penjaga Gol UiTM, Pavel Matiash hanya mampu melihat bola menerjah
Penjaga Gol UiTM, Pavel Matiash hanya mampu melihat bola menerjah gawangnya untuk kali keempat hasil percubaan pemain JDT, Amirul Hadi Zainal (kiri) dalam perlawanan Piala FA di Shah Alam semalam. utusan/Izham Jaafar
KUALA LUMPUR - Naib juara Piala Malaysia, Kedah berpesta gol apabila membelasah Megah Murni 8-0, kira-kira lima jam selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) menang 5-0 ke atas UiTM FC dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA semalam.
Penyerang baharu Kedah, Carlos Kahe mencipta hatrik di Stadium Darul Aman, Alor Setar apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh selang seminit pada penghujung perlawanan setelah meledakkan gol pertamanya semalam pada minit ke-36.
Syazwan Zainon pula menjaringkan gol pada minit ke-25 dan 38 manakala Azmeer Yusof membuka tirai jaringan seawal minit keenam diikuti jaringan Sandro empat minit kemudian dan gol Amirul Hisyam pada minit ke-28.
Terdahulu JDT membelasah UiTM 5-0 dalam perlawanan sebelah petang di Stadium UiTM, Shah Alam dengan S. Chanturu menjaringkan dua gol (minit ke-32 dan 37) selepas sepakan bebasnya membantu Amri Yahyah menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-13. Amirul Hadi Zainal meletakkan JDT mendahului 4-0 sebelum rehat dan Jorge Pereyra Diaz menambah gol kelima pada minit ke-71.
Amirul Hadi kemudian dibuang padang pada minit ke-85 selepas mengasari Mohd. Adib Rosli.
Selangor pula terpaksa menunggu hingga minit ke-69 untuk berada di hadapan menerusi jaringan Patrick Ronaldinho sebelum jaringan Abdul Hadi Yahya lapan minit kemudian memastikan juara Piala Malaysia itu meraih kemenangan selesa 2-0 ke atas Air Asia All Star 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban.
Sementara itu, Sime Darby menyingkirkan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang selepas Nazrul Kamaruzaman menjaringkan gol pada minit ke-19 disusuli jaringan Muhd. Shazlan Abu Samah tujuh minit selepas babak kedua bermula.
Di Stadium Hang Jebat, Melaka PKNS FC memastikan kemaraan ke pusingan ketiga selepas menewaskan Terengganu 3-1 menerusi jaringan Matias Jadue pada minit ke-47, Gonzalo Soto (minit ke-74) sebelum Gabriel Guerra menyempurnakan sepakan penalti pada minit terakhir permainan manakala gol sagu hati skuad Penyu dijaringkan oleh Mohd. Fakhrurazi Musa pada minit ke-71.
Perlis pula berhempas-pulas untuk meneruskan kemaraan dan berterima kasih kepada jaringan Vincent Kayne pada minit ke-71 untuk menang 1-0 ke atas Felcra di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.
Sementara itu di Kuantan, Pahang yang tewas 1-4 kepada Pulau Pinang dalam saingan Liga Super Selasa lalu menebus kekecewaan itu apabila menewaskan Terengganu FC II (TFCII) 2-1 dalam perlawanan yang berlanjutan ke masa tambahan di Stadium Darul Makmur.
Jaringan kemenangan Pahang diperoleh pada minit ke-111 menerusi Dalibor Volas yang menanduk masuk bola hasil sepakan sudut German Pacheco.
Sebelum itu Pacheco menyempurnakan gerakan cantik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-45 selepas mereka dikejutkan oleh jaringan Muhamad Sapawi Rasid menerusi sepakan bebas pada minit ketujuh.
Sementara itu jaringan sendiri pemain PDRM pada masa tambahan menyebabkan pasukannya tewas 1-2 kepada DRB Hicom di Stadium Proton, Tanjung Malim.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kedah-jdt-berpesta-gol-1.192475#sthash.gVBFp70j.dpuf

No comments:

Post a Comment