Ad

Thursday, 20 November 2014

Dollah: Myanmar ada kelebihan



Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
 
DOLLAH (kanan) mengingatkan pemainnya agar tidak memandang rendah kemampuan Myanmar.

JURULATIH Harimau Malaya, Dollah Salleh memberikan amaran kepada skuad kendaliannya agar berwaspada dengan corak serangan balas yang sering dipraktikkan oleh Myanmar menjelang aksi pertama peringkat Kumpulan B kempen Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Ahad ini.

Dollah menjelaskan bahawa dia sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan pasukan Myanmar dan mereka tidak boleh dibiarkan bergerak bebas.

“Tidak dapat dinafikan bahawa Myanmar memiliki kelebihan di bahagian serangan dan sering kali melakukan percubaan berbahaya menerusi serangan balas yang pantas.

“Penyerang mereka, Ko Ko (Kyaw Ko Ko) memiliki kebolehan tersendiri dan saya sentiasa mengingatkan para pemain untuk mengawasi kelibat pemain ini kerana dia sangat berbahaya terutamanya ketika berada di dalam kawasan penalti.

“Saya sudah melakukan persiapan untuk menghadapi apa juga bentuk ancaman yang bakal dilancarkan Myanmar dan kita juga ada strategi tersendiri untuk mengekang mereka,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan terakhir skuad Harimau Malaya di padang rumput tiruan Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.

Dalam perkembangan lain, Dollah mahu segala kritikan yang dilemparkan terhadap persediaan Harimau Malaya harus dijadikan sebagai pembakar semangat buat pasukannya selepas mempamerkan prestasi hambar dalam beberapa siri perlawanan persahabatan baru-baru ini.

Di sebalik kekalahan yang mereka alami, Dollah masih menaruh keyakinan terhadap keupayaan pasukan bimbingannya untuk beraksi dengan lebih baik di Singapura nanti.

“Banyak kritikan yang saya terima tetapi saya ambil perkara ini sebagai pembakar semangat untuk kami walaupun saya risau dari segi persefahaman, namun ia bukan alasan untuk kami tidak boleh beraksi dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Dollah memberitahu, Safiq Rahim kini sudah pulih daripada kecederaan namun masih belum cergas sepenuhnya untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

“Saya melihat bahagian tengah tidak memiliki sebarang masalah dan sekiranya berlaku sebarang kecederaan, Safiq akan menjadi salah seorang pemain yang akan dimasukkan semula.

“Sebelum ini kami menjalani sesi latihan tanpa kehadiran Safiq, jadi saya tidak akan mengambil risiko untuk menurunkannya dalam kesebelasan utama,” katanya.


SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3JfhMQTf6Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment