24 November 2014 2:23 AM
Pemain Malaysia, Mahali Jasuli
(kanan) cuba melepasi kawalan dua
Pemain Malaysia, Mahali Jasuli
(kanan) cuba melepasi kawalan dua pemain lawan dalam percubaannya membawa bola
ke dalam petak penalti Myanmar pada perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala AFF
di Stadium Jalan Besar, Singapura semalam yang berkesudahan seri tanpa
jaringan. – BERNAMA
SINGAPURA - Permulaan sempurna
yang diharapkan dicatat Harimau Malaya dalam kejohanan Piala AFF 2014 tidak
kesampaian apabila anak-anak buah Dollah Salleh terpaksa bermain dengan 10
orang tetapi masih mampu seri tanpa jaringan dengan Myanmar pada aksi pembukaan
Kumpulan B di Stadium Jalan Besar semalam.
Situasi itu meletakkan skuad
negara berada dalam laluan getir kerana wajib menang ke atas Thailand dalam
perlawanan kedua mereka Rabu ini jika mahu menempah tempat di separuh akhir.
Walaupun begitu, semangat
perjuangan yang dipamerkan oleh Harimau Malaya wajar diberikan tabik hormat
kerana masih mampu mengikat Myanmar sungguh pun kekurangan seorang pemain
selama 55 minit.
Semuanya gara-gara Gary Steven
Robbat yang mendapat kad merah selepas mengutip dua kad kuning.
Ini menyaksikan perlawanan
ketiga berturut-turut Harimau Malaya menamatkan perlawanan dengan 10 pemain.
Namun, keputusan seri tanpa
jaringan itu masih mampu membuatkan Dollah tersenyum, malah memuji anak-anak
buahnya kerana beraksi bermati-matian biarpun lawan mempunyai kelebihan seorang
pemain.
“Ini adalah perlawanan ketiga
berturut-turut, termasuk dua perlawanan persahabatan, pasukan saya mendapat kad
merah.
“Beraksi dengan 10 pemain, saya
bangga dengan persembahan para pemain kerana memberikan 100 peratus walaupun
saya rasa kita sebenarnya boleh mendapatkan tiga mata dalam perlawanan ini,”
katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam masa sama, Dollah agak
berang dengan pemain Myanmar yang disifatkan terlalu banyak berlakon di atas
padang untuk meraih simpati pengadil.
Provokasi pemain Myanmar itu
dilihat banyak memberikan kesan terhadap mutu pengadilan sehingga membuatkan
Gary menjadi mangsa kad merah.
Dollah juga berpendapat
skuadnya sepatutnya diberikan dua sepakan penalti, satu pada setiap separuh
masa tetapi pengadil dari Turkmenistan, Kurbanov Chaymurat tidak mengendahkan
desakan kem Malaysia.
“Secara jujur saya boleh
katakan para pemain Myanmar lebih fokus membuat lakonan dalam banyak
insiden...maafkan atas apa yang saya cakapkan ini.
“Ada kalanya terjahan yang
dilakukan oleh pemain saya langsung tidak mengenai mereka. Ini jelas dilakukan
bagi memastikan para pemain saya mendapat kad kuning.
“Saya juga berasakan kami patut
diberikan sepakan penalti tetapi saya tidak tahu mengapa pengadil tidak mahu
beri kepada kami,” katanya.
Sebelum perlawanan semalam, kem
Harimau Malaya mendapat khabar duka apabila Mohd. Muslim Ahmad tidak dibenarkan
beraksi kerana perlu menjalani hukuman satu perlawanan ekoran kad merah yang
diterima semasa berdepan Vietnam, 16 November lalu.
Keputusan mengejut itu
dimaklumkan oleh Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dalam tempoh kurang 24 jam
walaupun sebelum ini mereka memberitahu Muslim boleh beraksi dalam perlawanan
itu.
Ketiadaan Muslim bagaimanapun
ditampung Afif Amiruddin yang bergandingan baik dengan Mohd. Fadhli Shas di
bahagian tengah.
Sementara itu, Thailand
menepati ramalan apabila menundukkan tuan rumah Singapura dalam perlawanan di
Stadium Nasional.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dollah-tabik-semangat-pemain-1.28444#sthash.yetrfjjQ.dpuf
No comments:
Post a Comment