SUFIAN HADI MOHD. SOJAK | 20
November 2014 3:15 AM
KETUA pasukan Harimau Malaya,
Shukor Adan (tengah) mengetuai rakan-rakan
KETUA pasukan Harimau Malaya,
Shukor Adan (tengah) mengetuai rakan-rakan sepasukannya membuat senaman ringan
sebelum memulakan sesi latihan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam, menjelang
Kejohanan AFF yang akan bermula di Singapura Ahad ini. – UTUSAN/Roy Azis Abd.
Aziz
KUALA LUMPUR - Kad merah demi
kad merah yang dikutip pemain skuad Harimau Malaya dalam beberapa perlawanan
persahabatan membuatkan Dollah Salleh bimbang perkara sama berulang dalam
Kejohanan AFF di Singapura kelak.
Insiden Mohd. Fadhli Shas dan
Mohd. Muslim Ahmad dibuang padang ketika bertemu Syria dan Vietnam baru-baru
ini telah membuatkan jurulatih Harimau Malaya itu gusar pasukannya akan
menamatkan perlawanan dengan 10 pemain sekali gus menjejaskan peluang mereka
jika anak-anak buahnya tidak berhati-hati.
Tambah meresahkan jurulatih itu
ialah dua pemain yang menerima kad merah itu ialah dari bahagian pertahanan.
Apa yang mampu diharapkan oleh
Dollah pada hari-hari terakhir persediaan mereka sebelum ke seberang tambak
esok ialah anak-anak buahnya telah mempelajari sesuatu daripada dua insiden
tersebut dan menasihati agar mereka tidak mengulanginya.
“Sebagai jurulatih saya memang
risaukan keadaan tersebut. Biarlah kita habiskan perlawanan dengan 11 pemain
dan bukannya kekurangan pemain.
“Saya risau kalau ada di antara
mereka yang dibuang padang.
“Tetapi takkanlah saya nak
suruh mereka supaya jangan terjah? Nanti mereka pula yang takut nak membuat
terjahan.
“Yang penting saya mahu mereka
semua berhati-hati dalam membuat sesuatu tindakan,” katanya ketika ditemui
semasa sesi latihan di Bukit Jalil semalam.
Katanya, perkara itu lebih
merisaukannya berbanding isu akan beraksi di atas rumput tiruan di Stadium
Jalan Besar dalam dua perlawanan awal.
Katanya, pemain sudah pun
membiasakan diri dengan latihan di Majlis Sukan Negara yang mempunyai fasiliti
padang sintetik.
“Kadang-kadang saya khuatir
juga berkaitan keadaan padang di sana, tetapi pasukan lain seperti Myanmar dan
Thailand juga menghadapi hal yang sama.
“Jadi, ketiga-tiga pasukan ada
masalah yang sama. Maka kami tidak boleh memberi alasan lagi (untuk
mempersembahkan prestasi terbaik),” katanya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan
B dan akan menentang Myanmar dalam perlawanan pertama masing-masing pada Ahad
ini.
Satu lagi perlawanan iaitu
antara tuan rumah Singapura dengan Thailand akan berlangsung di atas permukaan
rumput asli di Stadium Nasional.
Perlawanan kedua Harimau Malaya
iaitu menentang Thailand juga akan berlangsung di Stadium Jalan Besar sebelum
mereka bertemu Singapura di Stadium Nasional.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/dollah-salleh-risau-kad-merah-1.26841#sthash.5BQueKR0.dpuf
No comments:
Post a Comment