Sudah punya strategi menjelang
aksi menentang Myanmar, Ahad ini
NOR AZAN FITRI AHMAD
HIDZIR |
21 November 2014 2:27 AM
Dollah SALLEH (kanan) memberi
arahan kepada pemain dalam sesi
Dollah SALLEH (kanan) memberi
arahan kepada pemain dalam sesi latihan skuad Harimau Malaya di padang Majlis
Sukan Negara, Bukit Jalil semalam sebelum mereka berlepas ke Singapura untuk
Piala AFF hari ini.
KUALA LUMPUR - Pengendali
Harimau Malaya, Dollah Salleh memiliki strategi tersendiri bagi mengekang
Myanmar dalam aksi pembukaan Piala AFF Suzuki di Stadium Jalan Besar,
Singapura, Ahad ini.
Selepas menyaksikan dua
perlawanan Myanmar di Laos baru-baru ini, beliau sudah mendapat gambaran
mengenai kekuatan dan kelemahan pasukan itu serta kaedah untuk mengekang setiap
asakan yang bakal diberikan.
Beliau juga akan mengadakan
sesi penerangan kepada pemain, selain menunjukkan rakaman video mengenai
perlawanan itu bagi membolehkan mereka lebih memahami corak permainan yang
bakal ditampilkan Myanmar.
“Myanmar memiliki kekuatan di
bahagian serangan dan banyak melakukan percubaan berbahaya menerusi serangan
balas.
“Penyerang mereka Ko Ko (Kyaw
Ko Ko) memiliki kebolehan istimewa dan saya akan mengingatkan pemain untuk mengawasi
kelibat pemain ini kerana dia sangat berbahaya, terutamanya ketika berada di
dalam kawasan penalti.
“Saya sudah melakukan persiapan
untuk menghadapi perkara ini dan kita juga ada strategi tersendiri untuk
mengekang mereka,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan terakhir skuad
Harimau Malaya di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil di sini semalam.
Meskipun menerima pelbagai
cemuhan daripada pelbagai pihak mengenai aksi kurang meyakinkan dalam beberapa
siri perlawanan persahabatan sebelum ini, Dollah memberitahu, beliau akan
menjadikan perkara itu sebagai pembakar semangat untuk pasukannya mencipta
keputusan yang lebih baik dalam saingan Piala AFF kali ini.
Katanya, walaupun pemain masih
lagi tercari-cari keserasian di dalam padang, namun jelas kelihatan
peningkatan.
Beliau percaya skuad
kendaliannya mampu untuk beraksi dengan baik.
“Banyak kritikan yang saya
terima tetapi saya ambil perkara ini sebagai pembakar semangat untuk kami
walaupun saya risau dari segi persefahaman namun ia bukan alasan untuk kami
tidak boleh beraksi dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Dollah
memberitahu, Safiq Rahim kini sudah pulih daripada kecederaan, namun masih
belum cergas sepenuhnya untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.
“Saya melihat bahagian tengah tidak
memiliki sebarang masalah dan sekiranya berlaku sebarang kecederaan, Safiq akan
menjadi salah seorang pemain yang akan dimasukkan semula.
“Sebelum ini kami menjalani
sesi latihan tanpa kehadiran Safiq, jadi saya tidak akan mengambil risiko untuk
menurunkannya dalam kesebelasan utama,” katanya lagi.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dollah-tahu-apa-hendak-buat-1.27241#sthash.UhTvXjOQ.dpuf
No comments:
Post a Comment