Ad

Wednesday, 26 November 2014

Mat Yo jadi sandaran Dollah



 
MAT YO (kiri) tetap menjadi sandaran Dollah untuk mengetuai jentera serangan Harimau Malaya pada aksi menentang Thailand hari ini.

JURULATIH Harimau Malaya, Dollah Salleh menaruh kepercayaan tinggi terhadap penyerangnya, Norshahrul Idlan Talaha untuk merobek gawang pasukan Thailand apabila kedua-dua pasukan itu bakal membuat perhitungan dalam perlawanan kedua peringkat Kumpulan B kempen Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Jalan Besar, Singapura hari ini.

Biarpun Norshahrul atau lebih dikenali sebagai ‘Mat Yo’ jarang beraksi dalam saingan liga tempatan ketika bersama Johor Darul Takzim, Dollah yakin pemain kelahiran Besut, Terengganu itu mampu muncul sebagai penyerang berbisa pada kempen kali ini.

Menurut Dollah beliau menganggap Mat Yo sebagai senjata berbisa buat skuad negara dalam misi menyekat kemaraan Thailand hari ini.

"Sudah tentu kami akan melakukan sesuatu. Saya yakin kami mampu menghasilkan gol pada aksi menentang Thailand nanti walaupun setakat ini jentera serangan masih belum berfungsi dengan baik.

"Saya sedar bahawa bahawa skuad negara masih belum mencipta sebarang jaringan selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Myanmar pada Ahad lalu tetapi saya percaya kebuntuan tersebut akan berakhir.

"Selain itu, saya juga sedar bahawa Mat Yo lebih banyak memanaskan bangku simpanan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) tetapi dia masih memiliki kelebihan sebagai peledak berbisa.

"Secara keseluruhannya, kami memang sudah bersedia untuk berdepan Thailand dan saya juga yakin akan berlaku kejutan pada perlawanan itu nanti walaupun Thailand dianggap antara pasukan pilihan pada kejohanan kali ini,” jelas Dollah semalam.

Pada perlawanan hari ini, kedua-dua pasukan pasti menyajikan aksi sengit kerana masing-masing mahu meraih kemenangan.

Thailand selaku juara tiga kali kejohanan ini turun dengan misi mencari tiga mata bagi mengesahkan tempat mereka ke pusingan separuh akhir lebih awal.

Setakat ini, Thailand telah meraih satu kemenangan hasil kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan dan juga tuan rumah, Singapura pada aksi pembuka tirai, Ahad lalu.

Malaysia pula tidak boleh tewas jika berhasrat mahu meneruskan perjuangan selepas sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Myanmar pada Ahad lalu.

Andai tewas, misi Harimau Malaya akan menjadi semakin sukar kerana mereka akan membuat perhitungan dengan Singapura pada aksi terakhir, Sabtu ini.

Malaysia muncul juara kejohanan ini pada tahun 2010.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3KALTA9VPHakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment