Oleh AZIZI MAJID (sukan@utusan.com.my) | 07
November 2014 1:55 AM
matyo
JOHOR BAHRU – Norshahrul Idlan
Talaha mungkin tidak pernah menyangka dia akan menerima tumpuan sebegini
besar, terutamanya dari penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika ini.
Terlibat dengan isu
‘konfrontasi dengan pak guard’ dan kini dipersalahkan apabila gagal
menyempurnakan sepakan sewaktu situasi penalti penentuan ketika JDT kalah
kepada Pahang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, peminat lebih banyak
berkisah mengenai hal-hal yang tiada kaitan dengan bola sepak berbanding
bercerita mengenai bakat besar bekas penyerang Kelantan itu.
Mulai musim depan, Norshahrul
yang mesra dengan panggilan Mat Yo akan menyarung jersi ATM, tetapi dia
menafikan isu-isu berkenaan mempengaruhi keputusannya untuk meninggalkan JDT
yang disertainya pada 2013.
Pemain berusia 28 tahun
kelahiran Besut, Terengganu itu turut menafikan layanan buruk yang diterima
daripada para penyokong dan peminat bola sepak menjadi punca dia mengubah
haluan.
“Perpindahan saya ini tiada
kaitan langsung dengan tekanan atau layanan buruk yang saya terima selama
ini, sebaliknya saya menyertai ATM kerana mahu mencari peluang beraksi dengan
lebih banyak.
“Oleh itu, jangan kaitkan
perpindahan saya ini kerana tekanan daripada peminat atau kontroversi dahulu
kerana tidak mempengaruhi langsung keputusan yang saya buat ini,” katanya di
sini semalam.
Nama Mat Yo yang pernah
dinobatkan sebagai penyerang terbaik negara pada 2010 semakin menjadi bualan
peminat setelah isu perpindahannya dari pasukan Kelantan ke JDT pada tahun
lalu.
Selain itu, insiden pergaduhan
isterinya dengan seorang pengawal keselamatan serta insiden membuang pingat ke
dalam tong sampah menyebabkan pemain itu dipersendakan oleh penyokong dan
peminat yang menghukumnya tanpa usul periksa.
Terbaharu, ialah apa yang
berlaku di Stadium Nasional pada Sabtu lalu, yang menyebabkan sebahagian
peminat JDT menyalahkannya.
“Saya tidak mampu untuk
menghalang atau menutup mulut mereka. Sudah lumrah kehidupan kalau kita buat
baik orang tidak akan kata apa-apa, tetapi kalau kita buat silap, memang
menjadi buah mulut.
“Ya, kadang-kala saya juga
tersinggung dengan layanan peminat terhadap saya, hingga apa yang saya dan
isteri buat menjadi bahan untuk mereka gosipkan di laman sosial. Tetapi itu
semua tiada kaitan langsung dengan perpindahan saya ke kelab baharu,” katanya.
Ditanya dakwaan dalam laman
sosial mengatakannya semakin sombong di luar padang Mat Yo berkata perkara itu
tidak benar.
Katanya, sebenarnya sikapnya
tidak banyak bercakap dan pemalu yang mungkin menyebabkan ramai orang tersalah
tafsir tentang dirinya.
“Rakan-rakan seperjuangan saya
lebih mengenali siapa diri saya yang sebenar,” jelasnya.
Prestasi Mat Yo dilihat semakin
menurun dan lebih banyak berada di bangku simpanan musim ini selepas dihimpit
kecederaan selain kehadiran beberapa bintang luar di dalam pasukan JDT.
Ini juga menyebabkan pemain itu
membuat keputusan mencari tapak baharu musim depan.
Mat Yo yakin jurulatih ATM, B.
Sathianathan yang pernah membimbingnya ketika bersama Kelantan dahulu mampu
memulihkan semula reputasi dan imejnya sebagai antara penyerang terbaik negara.
“Beliau (Sathianathan) sudah
mengenali cara permainan saya dan banyak membantu dalam memperbaiki kemahiran
saya di atas padang. Oleh itu, saya harap dia dapat membimbing saya semula.
“Buat masa ini saya masih tidak
berpuas hati dengan prestasi saya yang menurun sedikit, tetapi jika dapat
banyak peluang bermain saya rasa saya mampu bangkit semula ke tahap sebenar,”
katanya.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/pindah-bukan-sebab-tertekan-8211-mat-yo-1.21629#sthash.lDlgPDPi.dpuf
No comments:
Post a Comment