HARIMAU Malaya wajib menang ke
atas Thailand pada aksi kedua peringkat Kumpulan B kempen Piala AFF Suzuki 2014
di Stadium Jalan Besar, Singapura hari ini.
Jika berjaya mencatat
kemenangan, ia bakal membuka laluan untuk melangkah ke pusingan separuh akhir
dan jika tewas, ia bererti mereka menempah maut.
Aksi hari ini merupakan misi
hidup mati buat skuad kendalian Dollah Salleh itu kerana selepas mengharungi
satu perlawanan, mereka sekadar mengutip satu mata hasil keputusan seri tanpa
jaringan pada aksi pembukaan menentang Myanmar pada Ahad lalu.
Thailand pula selesa mengetuai
kedudukan Kumpulan B dengan tiga mata hasil kemenangan 2-1 ke atas juara
bertahan, Singapura pada aksi pembukaan, Ahad lalu.
Dollah tiada pilihan lain,
kecuali menang walaupun dia menyedari Thailand bukan pasukan yang mudah untuk
dijinakkan.
Jika prestasi ketika menentang
Myanmar terus menjadi amalan pada perlawanan hari ini, ia bermakna Harimau
Malaya mengundang padah memandangkan Thailand memiliki gaya permainan yang
pantas dan terancang.
Apa yang pasti, perlawanan hari
ini bakal menjanjikan persaingan sengit kerana kedua-dua pasukan memiliki misi
yang sama, iaitu untuk meraih kemenangan.
Thailand memburu kemenangan
kedua bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir lebih awal.
“Kami akan turun dengan misi
untuk menang. Kami tidak boleh beraksi sambil lewa kerana Thailand bukan
calang-calang pasukan. Mereka nampak lengkap di semua posisi dan kami harus
bijak mematikan langkah mereka (Thailand).
“Saya mahukan semua pemain
tampil dengan aksi lebih bertenaga dan tidak mensia-siakan peluang untuk
menggegar gawang lawan,” jelas Dollah yang belum memutuskan lagi siapa yang
bakal diturunkan dalam kesebelasan utama hari ini.
Jentera tengah bakal dirombak
selepas Gary Steven Robbat digantung satu perlawanan ekoran menerima kad merah
pada aksi menentang Myanmar, Ahad lalu.
Dollah kini ada dua pilihan
sama ada untuk menurunkan Safiq Rahim atau Baddrol Bakhtiar mengisi kekosongan
tersebut.
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3KAPJiCWDHakcipta
terpelihara
No comments:
Post a Comment