Ad

Thursday, 27 November 2014

Piya masih menunggu peluang



28 November 2014 12:59 AM
Mohd. Badhri Mohd. RadzI berlatih membuat sepakan ketika sesi
Mohd. Badhri Mohd. RadzI berlatih membuat sepakan ketika sesi

Mohd. Badhri Mohd. RadzI berlatih membuat sepakan ketika sesi latihan skuad negara di Stadium Bishan semalam, dalam persiapan mereka untuk menentang tuan rumah pada perlawanan terakhir Kumpulan B, Piala AFF di Singapura esok. – UTUSAN

SINGAPURA - Selepas dua perlawanan Kumpulan B, Piala AFF 2014 berlalu tanpa kemenangan buat skuad negara, nama pemain tengah Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi atau Piya kini menjadi sebutan kalangan pemerhati dan peminat Harimau Malaya yang berharap dia diturunkan apabila mereka berdepan Singapura di Stadium Nasional malam esok.

Dengan statusnya sebagai pemenang anugerah Pemain Tengah Terbaik buat kali kedua berturut-turut, ramai melihat Piya sewajarnya mengisi kesebelasan utama serta mengemudi bahagian tengah Harimau Malaya untuk membuka ruang bagi merobek gawang Singapura.

Namun, Piya yang ditemui pada sesi latihan di Stadium Bishan semalam berkata, dia menghormati setiap keputusan jurulatih Dollah Salleh kerana baginya diletakkan di bangku simpanan adalah asam garam dalam bola sepak memandangkan persaingan yang cukup sengit di bahagian tengah.

“Bagi saya, saya tidak kisah siapa yang main kerana memang lumrah bola sepak bukan semuanya dapat berada dalam kesebelasan utama. Saya kena terima terutama dalam soal persaingan.

“Apa yang penting, pasukan ini kena menang ke atas Singapura untuk melayakkan diri ke separuh akhir, itu misi paling pen-ting buat kami,” katanya.

Walaupun mencipta pelbagai kejayaan bersama Kelantan sejak 2010, Piya hanya mempunyai enam cap bersama Harimau Malaya dan masih belum menjadi salah seorang tonggak penting di dalam skuad.

Bagaimanapun, jika dia dijadikan pilihan saat akhir oleh Dollah dalam usaha membuat kejutan ke atas Singapura, pemain berusia 32 tahun ini sedia menggalas amanah yang diberikan.

“Kalau diikutkan, kaki saya ini memang rasa geram sangat hendak main terutama dalam perlawanan penting sebegini, semua pemain di dalam skuad ini ada perasaan sebegitu.

“Jika jurulatih membuat percaturan menurunkan saya, saya akan memberikan lebih 100 peratus di atas padang dan cuba mendapatkan kemenangan.

“Bagaimanapun, jika tidak..saya harap sesiapa pun seperti Shukor Adan, Gary (Robbat) dapat memberikan persembahan cemerlang supaya misi kita dalam Piala AFF ini tercapai,” katanya. – UTUSAN
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/piya-masih-menunggu-peluang-1.30047#sthash.tU6ChHoZ.dpuf

No comments:

Post a Comment