Ad

Monday, 24 November 2014

Dollah ada cara jinakkan Thailand



25 November 2014 1:25 AM
SINGAPURA - Tiada jalan pintas buat Harimau Malaya jika mahu menjinakkan Thailand dalam aksi kedua Kumpulan B Piala AFF petang esok kecuali mempamerkan prestasi dua kali ganda berbanding apa yang mereka pamerkan semasa bertemu Myanmar kelmarin.

Itu peringatan pengendali skuad kebangsaan, Dollah Salleh kepada para pemainnya jika mereka berhasrat meraih tiga mata bagi membuka laluan ke peringkat separuh akhir sebelum bertemu Singapura dalam pertemuan terakhir Sabtu depan.

Jelasnya, dia akur persembahan Harimau Malaya belum cukup mantap bagi memberi cabaran kepada skuad Gajah Putih memandang­kan skuad kendalian Kiatisuk Se­na­muang itu mempunyai kualiti tersendiri di bahagian serangan serta pantas.

“Kalau kita main macam semalam seperti lawan Myanmar, saya rasa memang sukar untuk mengatasi Thailand, cuma sema­ngat para pemain sahaja berbeza selepas beraksi dengan 10 orang.

“Jika mahu bersaing dengan Thailand, kita kena gandakan tahap persembahan kita dan banyak bahagian kena diperbetulkan. Walaupun saya tidak dapat menafikan bahagian pertahanan nampak begitu baik, tetapi di situ sahaja yang saya puas hati.

“Bahagian tengah masih perlu memperkemaskan permainan dan paling membimbangkan adalah serangan kita yang serba tidak menjadi.

“Berdepan Thailand nanti kita perlu tampilkan perbezaan, Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan Amri Yahyah kena dapatkan kembali sentuhan,” katanya selepas sesi latihan Harimau Malaya di Stadium Sera­ngoon semalam.

Walaupun begitu, Dollah berkata dia sudah memiliki strategi yang akan diterapkan untuk menjinakkan Thailand.

Katanya kelemahan Thailand yang boleh dieksploitasi adalah di bahagian pertahanan dan dia sedang merangka strategi merobohkan keegoan juara tiga kali itu yang dilabel sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan kali ini.

Sempat menonton aksi Thailand dan Singapura pada separuh masa kedua, dia mendapati corak persembahan benteng Thailand bukan antara yang terbaik dan yakin barisan serangannya boleh mengambil kesempatan.

“Sejurus perlawanan semalam, saya sempat tengok aksi Thailand dan Singapura di babak kedua dan dapat kesan kelemahan di bahagian pertahanan kerana sentiasa nampak kelam kabut.

“Saya rasa ada cara untuk me­ngatasi Thailand. Saya tidak nafikan Thailand cukup tersusun di bahagian tengah dan penyerang, itu kita kena waspada,” katanya.

Dalam masa sama, Dollah berharap tiada lagi kad merah yang akan dikutip oleh para pemainnya sambil menyifatkan dia sudah serik melihat anak-anak buahnya ber­aksi dengan kekurangan seorang pemain selepas tiga perlawanan berturut-turut.

“Tidak pernah saya me­ngendalikan sesebuah pasukan yang mendapat kad merah dalam tiga perlawanan berturut-turut, ini seperti satu sejarah buat saya namun bukan kita mahu benda-benda ini terjadi.

“Satu sahaja pesanan saya kepada pemain, ingat-ingatlah jika pasukan beraksi dengan 10 orang. Harap tidak ada lagi pemain kita mendapat kad merah,” katanya. – UTUSAN
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dollah-ada-cara-jinakkan-thailand-1.28853#sthash.nlCb3xe6.dpuf

No comments:

Post a Comment