Ad

Tuesday 25 November 2014

Dollah mahu pemain agresif




Singapura: Jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh menuntut anak buahnya beraksi lebih agresif menentang Thailand dalam aksi kedua Kumpulan B Piala AFF 2014 di Stadium Jalan Besar esok meskipun dibayangi badi kad merah.

Skuad negara meraih satu mata pada perlawanan pembukaan ketika seri 0-0 dengan Myanmar kelmarin meskipun beraksi dengan 10 pemain selama hampir sejam akibat layangan kad merah kepada pemain tengah Gary Steven Robbat.

Ia insiden ketiga berturut-turut skuad kendalian Dollah kehilangan seorang pemain selepas kalah kepada Syria dan Vietnam pada aksi persahabatan sebelum ini.

Bertemu juara tiga kali Thailand yang menjadi pendahulu kumpulan hasil kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan Singapura kelmarin, Harimau Malaya hanya akan mengundang padah jika perkara sama terus berlaku.

“Kita tak boleh nak cakap kepada pemain jangan kena kad, nanti pemain takut untuk membuat terjahan.

“Memang saya ada pesan kepada pemain supaya berhati-hati sama seperti sebelum perlawanan dengan Myanmar tapi ia berlaku juga,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Serangoon semalam.

Bagaimanapun Dollah, 51, mengakui anak buahnya yang memerlukan kemenangan untuk mencerahkan peluang ke separuh akhir perlu bangkit dengan persembahan lebih hebat jika mahu menewaskan Thailand.

“Kalau main seperti semalam (kelmarin), kita memang sukar menewaskan Thailand. Pemain perlu menggandakan prestasi terutama bahagian serangan," jelasnya.

Walaupun Thailand dibarisi ramai pemain muda daripada skuad bawah 23 tahun yang mara ke separuh akhir Sukan Asia Incheon namun Dollah dapat menghidu kelemahan pasukan pilihan itu.“Saya ada menyaksikan perlawanan Thailand menentang Singapura pada separuh masa kedua dan memang permainan mereka tersusun khususnya di bahagian tengah dan serangan
“Namun saya lihat pertahanan mereka agak goyah dan mungkin di situ kita boleh melakukan sesuatu,” kata bekas pemain kebangsaan itu.Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:13 AM

DOLLAH ( dua dari kanan) berbincang dengan pemain.
- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/11544#sthash.YZmnPSjv.dpuf

No comments:

Post a Comment