Ad

Monday, 24 November 2014

Sokongan peminat negara ditagih




25 November 2014 1:25 AM
 SINGAPURA – Harimau Malaya seperti berjuang sendirian di Kota Singa berdasarkan sambutan di­ngin yang ditunjukkan oleh para peminat bola sepak negara ketika menentang Myanmar dalam Kumpulan B, Piala AFF di Stadium Jalan Besar.

Difahamkan hanya kira-kira 400 sahaja tiket terjual dan situasi itu turut terbawa menjelang pertemuan getir bertemu Thailand, Rabu ini.

Berdasarkan rekod jualan ter­akhir pada 19 Oktober lalu sebelum tiket dipulangkan kembali kepada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), hanya 500 keping tiket sahaja terjual sekali gus menjadikan suasana di Stadium Jalan Besar pasti akan dikuasai oleh penyokong lawan sekali lagi seperti ketika menentang Myanmar pada Ahad lalu.

Justeru itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menggesa para penyokong negara, terutama yang tinggal di Johor agar datang untuk memberikan soko­ng­an padu kepada Harimau Malaya pada perlawanan kedua Kumpulan B esok.

Para peminat masih boleh mendapatkan tiket di pejabat tiket Starhub di Stadium Nasional, Singapura pada waktu bekerja sehingga hari perlawanan.

“Kami terima tiket berjumlah 1,300 keping bagi perlawanan de­ngan Myanmar dan Thailand, namun hanya 400 sahaja terjual untuk perlawanan semalam manakala 500 bagi aksi kedua bertemu Thailand, selebihnya kami telah pulangkan kepada FA Singapura.

“Bagi perlawanan dengan Si­nga­pura, kami dapat menjual ha­nya sekitar 1,200 dan masih ada baki 1,100 keping, sebelum 19 November lalu saya berikan balik kepada FA Singapura.

“Saya menyeru kepada semua peminat skuad bola sepak negara terutama yang tinggal di Johor agar turun memberikan sokongan walaupun saya tahu hari Rabu adalah hari bekerja,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan Harimau Malaya di Stadium Serangoon semalam.

Sementara itu, Hamidin memaklumkan, Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan penasihat, Tunku Ismail Sultan Ismail akan berada di stadium untuk menyaksikan pertemuan Harimau Malaya dan Thailand bagi memberi sokongan.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/sokongan-peminat-negara-ditagih-1.28854#sthash.67mhnULj.dpuf

No comments:

Post a Comment