Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
TUNKU ISMAIL menyifatkan
pencalonan untuk beberapa kategori di ABSK 2015 dilakukan secara tidak telus
dan dipengaruhi faktor politik.
PENASIHAT Diraja Persatuan Bola
Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan Anugerah
Bola Sepak Kebangsaan (ABSK) 2015 tidak bersifat telus sebaliknya dilihat
seolah-olah dipengaruhi faktor politik meskipun menyaksikan Johor Darul Takzim
(Johor DT) hampir menyapu bersih anugerah yang dipertandingkan.
Ini kerana Tunku Ismail
menganggap pencalonan bagi kategori Jurulatih Terbaik dan Penyokong Terbaik di
dalam ABK 2015 tidak dilakukan secara lebih telus berdasarkan pemerhatian
semasa yang berlangsung di dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Tunku Ismail yang bertitah
menerusi entri laman sosial, Facebook, JOHOR Southern Tigers berkata, baginda
menzahirkan rasa kesal selepas khidmat nasihatnya kepada Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) tidak ambil endah.
“Sudah tentu dan saya ingin
mengucapkan tahniah kepada para pemenang tetapi saya tidak mengambil serius
anugerah ini kerana ia dilihat dipengaruhi politik. Sepatutnya pengiktirafan
diberikan kepada yang layak, bukan untuk menjaga hati pihak-pihak tertentu.
“(Mengiktiraf anugerah ini)
tidak. Semasa saya dimaklumkan pihak FAM berkenaan pencalonan, saya tertawa
sendiri. Bagi saya, sekiranya hendak mencalonkan anugerah jurulatih terbaik,
pilihlah yang mempunyai pencapaian seperti Mario Gomez (jurulatih Johor DT),
Mehmet (Durakovic sebagai jurulatih Selangor) dan Tan Cheng Hoo (jurulatih
Kedah) yang telah membuktikan kemampuan masing-masing.
“Mengapa calonkan Zainal
(Abidin Hassan sebagai jurulatih Pahang) yang tiada sebarang pencapaian untuk
tahun ini? Untuk anugerah penyokong terbaik pula, mengapa Pahang yang
menerimanya, sedangkan stadium mereka (Stadium Darul Makmur) tidak sentiasa
penuh, seperti di Larkin (Stadium Tan Sri Hassan Yunos) juga yang kadangkala
tidak penuh?
“Bagi saya, yang layak menerima
anugerah tersebut adalah penyokong Kedah, kerana stadium mereka (Stadium Darul
Aman) sentiasa penuh dari awal hingga ke akhir tahun. Berkenaan hal ini pun,
saya telah memberikan nasihat kepada FAM tetapi apakan daya, nasihat saya bukan
boleh mengisi kocek sesiapa pun,” titah baginda semalam.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1220&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3uqhpdCzN
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment