Pada hari ini 30.12.1859,
Sultan Pahang, Sultan Mahmud Al-Muzaffar Shah telah mengurniakan "Surat
Keterangan" kepada Mandara Lubuk Setia Raja atau Tok Lubuk dari daerah
Gali. Surat Keterangan ini merupakan surat kuasa untuk memungut cukai di daerah
Gali. Surat ini telah disampaikan oleh Wakil Sultan, Tengku Embong Ibni
al-Marhum Sultan Mahmud Shah dan En. Wan Long ibni Dato Bendahara Seri Maharaja
kepada Mandara Lubuk Setia Raja. Dengan adanya Surat Keterangan ini membolehkan
Mandara Lubuk Setia Raja memungut cukai di daerahnya. Cukai yang dipungut dari
daerah ini akan diserahkan kepada Sultan melalui Orang Kaya Maharaja Perba
Jelai. Sistem pungutan cukai ini merupakan sistem yang diikuti oleh Kerajaan
Negeri Pahang sejak lama dahulu. Tetapi setelah British campurtangan di Pahang
pada tahun 1888 sistem pungutan cukai oleh pembesar-pembesar Pahang cuba
dihapuskan. Sebaliknya mereka perlu membayar cukai kepada Kerajaan British
melalui Pemungut cukai dan Majestrit (Collector and Magistrate) yang berkuasa
sebagai Pegawai daerah. Kerajaan British telah mendapat tentangan hebat dari
pembesar-pembesar Pahang seperti Datuk Bahaman, Tok Gajah dan beberapa orang
lagi. Sesungguhnya pengurniaan Surat Keterangan oleh Sultan kepada
pembesar-pembesar adalah merupakan satu penghormatan dan pemberian kuasa ke
atas daerah-daerah tertentu untuk memungut hasil mahsul negeri. Segala hasil
cukai akan diserahkan kepada orang-orang Besar Pahang dan seterusnya diserahkan
kepada Sultan Pahang.
Sumber-http://hids.arkib.gov.my/
No comments:
Post a Comment