Ad

Wednesday, 29 January 2014

Pembunuhan punca banglo didakwa berhantu

 
BANGLO yang dikatakan berhantu di Jalan Turi, Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur.
SEKIRANYA berkesempatan melalui Jalan Turi, Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur, mungkin ada yang tidak perasan dengan kewujudan sebuah kediaman lama dan terbiar usang di tepi jalan.

Namun, apabila berpatah balik di laluan sama, segelintir akan menyedari rupa-rupanya di sebalik deretan rumah mewah, terdapat sebuah banglo kosong yang sebahagiannya sudah dirobohkan.

Jika diperhatikan dari luar, banglo yang dikelilingi tumbuh-tumbuhan dan semak samun itu tidak mempunyai keunikan atau daya tarikan. Sungguhpun begitu, ia disenaraikan antara lima tempat paling berhantu di negara ini.

Menurut Kru Penyingkap Fakta (PF), Shahrul Ashraf Salehuddin, terdapat pelbagai versi bagaimana banglo tersebut dikatakan aneh dan menyeramkan.

Antaranya ada dakwaan saksi yang mengatakan pernah melihat kelibat dua kanak-kanak bermain di hadapan pintu utama banglo berkenaan.

Berikutan dakwaan itu, kru PF merasa terpanggil untuk melakukan siasatan dan kajian paranormal di rumah tersebut pada 2011 dan 2012 bagi mendapatkan fakta sebenar.

"Bagaimanapun, sepanjang dua kali melakukan siasatan di tempat itu, kami tidak pernah melihat kelibat kanak-kanak mahupun apa jua bentuk imej entiti paranormal yang menyeramkan.

"Cuma semasa siasatan kali pertama dijalankan pada Jun 2011, salah seorang kru kami, ada mendengar bunyi tapak kaki mengekorinya ketika dia hendak naik ke tangga rumah berkenaan.

"Apabila kru tersebut menoleh ke belakang, tiada sesiapapun dilihat mengekorinya memandangkan dia merupakan orang yang terakhir menaiki tangga," katanya.

Walaupun kediaman itu telah lama ditinggalkan, mereka menemui pelbagai barangan seperti botol air, surat khabar, dokumen, gambar dan buku ketika tinjauan dilakukan.

"Kami turut menemui barang-barang seperti lilin dan buah-buahan yang digunakan untuk aktiviti pemujaan bagi mendapatkan nombor ramalan," katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan banglo tersebut tersenarai berikutan sebelum ini pernah berlaku kes pembunuhan seorang pembantu rumah dan dua kanak-kanak lelaki warga Amerika Syarikat di banglo itu pada 23 April 1992.

"Justeru, tidak hairanlah mengapa orang kata rumah itu berhantu atau menyeramkan kerana dikaitkan dengan peristiwa pembunuhan tersebut," katanya.

Mengulas tentang kejadian pembunuhan itu beliau berkata, pembantu rumah, Natalia Fernandez, 30, dan dua kanak-kanak berkenaan, Kabir Talwar, 11, Anjur Talwar, 7, dibunuh sebelum mayat mereka dimasukkan di dalam lubang takungan najis banglo berkenaan.

"Ketiga-tiga mangsa mati dibunuh oleh seorang pemuda berasal dari Sabah, Ariffin Agas, 25 yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di banglo itu," katanya.

Berikutan itu, suspek berkenaan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati setelah didapati bersalah dalam satu perbicaraan.

Katanya, kemungkinan dakwaan kelibat kanak-kanak itu dilihat bermain di kawasan banglo tersebut wujud rentetan daripada kes pembunuhan yang berlaku sebelum ini.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140125/lk_06/Pembunuhan-punca-banglo-didakwa-berhantu#ixzz2rppNh2rm © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment