Ad

Thursday, 30 January 2014

Perak masih mampu mencabar

Oleh SAHLIZAH MOHAMED
sahlizah.mohamed@kosmo.com.my
 
PANAS... Insiden pertikaman lidah antara pemain Perak (jersi putih) dan pemain ATM di Selayang malam kelmarin.

KETUA jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim menganggap prestasi anak- anak buahnya dengan beberapa pasukan elit lain dalam saingan Liga Super musim ini tidak terlalu jauh.

Abu Bakar berkata demikian ketika diminta mengulas kekalahan tipis 0-1 Perak kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.

Menurut Abu Bakar, beliau menggunakan formula yang sama ketika The Bos Gaurus menundukkan Terengganu 1-0 di Stadium Perak, Ipoh Sabtu lalu.

"Saya menggunakan pendekatan permainan yang sama ketika menentang Terengganu, cuma berlaku sedikit kesilapan yang tidak sepatutnya.

"Jaringan ATM sepatutnya boleh diselamatkan tetapi pihak lawan memberi tekanan yang agak hebat sehingga menyebabkan kami kehilangan bola.

"Saya akui jaringan yang diperoleh ATM itu adalah kerana kesilapan kami sendiri," kata Abu Bakar ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Abu Bakar turut berasa kecewa apabila pemain tengah, Kyaw Zayar Win dilayangkan kad merah pada penghujung babak kedua.

Zayar Win diarah keluar padang selepas membalas tolakan pemain tengah ATM, Affize Faisal Mamat sebelum kedua-dua pemain terbabit dilayangkan kad merah pada minit ke-89.

Tidak lama kemudian, nasib yang sama hampir dialami pemain pertahanan kiri Perak, Azmeer Yusof selepas dia dilayangkan kad kuning.

"Saya kesal dengan kehilangan Zayar Win. Ketiadaannya menyebabkan momentum permainan kami berubah.

"Saya juga masih menunggu hasil sentuhan ajaib penyerang import, Zelemir Terkes yang masih belum menjaringkan gol," jelasnya.

Abu Bakar memberitahu, meski- pun hanya merekodkan satu keme- nangan daripada tiga aksi liga setakat ini, beliau yakin Perak mampu memberi saingan dan kejutan ketika menentang Kelantan di Ipoh, Sabtu depan.

"Kami sudah bermain dengan empat pasukan yang memiliki reputasi tersendiri. Saya yakin kami mampu beri saingan dan kejutan selepas ini.

"Kami akan gunakan kelebihan bermain di tempat sendiri meskipun sedar Kelantan memiliki dua tonggak penyerang yang cukup berbahaya.

"Berita baiknya, Martin Kafando (pemain pertahanan) akan diturunkan.

"Saya beri jaminan dia tidak akan gentar berdepan dengan barisan penggempur Kelantan," ujarnya.

KOSMO ONLINE 30.1.14

No comments:

Post a Comment