Oleh DR. SARIMAH ISMAIL
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Pengurusan dan Komunikasi Sukan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti
Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Bola sepak antara sukan yang
paling popular di Malaysia dan rakyat negara ini menaruh harapan tinggi agar
skuad negara berjaya melayakkan diri ke tahap dunia. - Gambar hiasan
PERSOALAN ke arah mana masa
depan sukan negara sentiasa diperkatakan. Kerajaan memperuntukkan dana yang
besar bagi memajukan sukan negara namun penghasilannya tidak setara dengan
modal yang dilaburkan.
Hanya tinggal enam tahun lagi
untuk Malaysia memasuki era negara maju sebagaimana matlamat Wawasan 2020.
Sebagai negara maju bermakna industri sukan kita juga perlu maju ke hadapan.
Walaupun mungkin tidak setaraf Amerika Syarikat (AS), Jerman, Brazil atau Jepun
namun sekurang-kurangnya kita berada dalam kedudukan ranking terbaik dunia atau
pun berupaya menjana putaran ekonomi sukan untuk negara.
Melihat kepada kejayaan pasukan
bola sepak di Britain, Eropah dan Amerika Selatan, ia banyak bergantung kepada
pengurusan atlet yang profesional.
Apakah kita, akhirnya tidak
mahu menjadi seperti kelab bola sepak Real Madrid yang menurut majalah Forbes'
sebagai kelab paling bernilai di dunia dengan nilaian sebanyak AS$3.3 bilion
tahun lepas.
Pengurus-pengurus atlet di AS
misalnya dilahirkan dari pelbagai bidang termasuk bidang pengurusan dan sains
sukan.
Bidang-bidang ini juga
ditawarkan oleh universiti-universiti utama Malaysia termasuk Universiti
Teknologi Mara (UiTM) melalui Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi.
Fakulti itu ditubuhkan
bermatlamat untuk melahirkan pengurus-pengurus sukan bertaraf profesional bagi
memimpin persatuan-persatuan dan organisasi sukan termasuk di dalam Majlis
Sukan Negara (MSN) sendiri.
Melihat kepada senario sukan
negara, kemelut pengurusan, permasalahan atlet masih menghantui
persatuan-persatuan sukan Malaysia. Permasalahan-permasalahan ini timbul kerana
kegagalan organisasi sukan untuk memahami fungsi dan peranan masing-masing.
Amat ketara apabila orang
politik juga ingin mengepalai persatuan-persatuan sukan yang mungkin mempunyai
motif yang berbeza daripada matlamat pembangunan sukan negara.
Sering berlaku konflik akibat
campur tangan langsung atau tidak langsung orang politik dalam
persatuan-persatuan sukan. Ini menimbulkan polemik sehingga menjadi perbualan
terbuka media.
Perlu diingat pertikaman lidah
ini juga diikuti oleh para atlet dan sedikit sebanyak ia menjejaskan tumpuan
dan psikologi mereka.
Perbezaan antara nakhoda ini
menyebabkan pelbagai masalah timbul antara persatuan sukan serta dengan MSN
waima dengan Menteri Belia dan Sukan sendiri.
Dalam masa kurang sedekad
menuju negara maju semua pihak perlu memahami fungsi organisasi masing-masing
dalam memajukan sukan negara.
Pemahaman fungsi dan matlamat
organisasi ini penting bagi mengelakkan kekeliruan dan pertindihan tugas antara
organisasi dengan organisasi yang lain.
Dalam aspek ini,
universiti-universiti terutama fakulti sukan perlu bersungguh-sungguh untuk
melahirkan graduan berkualiti bagi berupaya mengepalai pengurusan atau industri
sukan negara secara berkaliber.
Terdapat kekeliruan apabila
sesetengah universiti pula memikirkan sebahagian fungsi mereka ialah melahirkan
atlet berprestasi tinggi sedangkan tugas ini sepatutnya disandang oleh MSN atau
persatuan-persatuan sukan di bawah dasar sukan negara.
Tugas fakulti di universiti
adalah melahirkan tenaga profesional dalam bidang pengurusan dan sains sukan,
bukan pusat melahirkan atlet.
Namun, sekiranya para siswa dan
siswinya terdiri daripada atlet atau bekas atlet, maka hasilnya akan lebih
hebat lagi.
Dalam aspek ini, MSN perlu mencari
formula yang lebih berkesan dalam melahirkan atlet-atlet berbakat terutamanya
bagi sukan berprestasi tinggi negara.
Pengesanan bakat (Talent ID)
perlu dipergiat dan diperluas ke seluruh negara.
Pergantungan kepada kejohanan
sukan sekolah sahaja seperti kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia
(MSSM) tidak memadai dalam usaha mengesan bakat-bakat baru sukan negara.
Pengesanan atlet perlu dibuat
melangkaui peringkat sekolah.
Penulis dalam kajiannya pada
2007 di perairan Pulau Mabul, Semporna, Sabah telah meneliti bakat terpendam di
kalangan anak-anak Orang Asli Laut (Bajau Laut) yang mempunyai keupayaan
semulajadi dalam sukan berkaitan air. Sepatutnya bakat-bakat mereka itu dikenal
pasti dan digilap dari peringkat kecil lagi.
Satu kajian baru juga akan
dijalankan mengenai penglibatan anak-anak Orang Asli dalam sukan kriket. Hasil
inisiatif yang dijalankan oleh Persatuan Kriket Melayu Malaysia, mereka telah
mengumpul anak-anak Orang Asli di Pahang dan Kelantan untuk program
pembangunan.
Kepemimpinan persatuan perlu
diterajui oleh mereka yang profesional dan memahami aspek pengurusan sukan, dan
bukan oleh pihak yang mahukan populariti daripadanya.
Jika semua pihak memahami
fungsi organisasi masing-masing, sudah pasti Malaysia berupaya memajukan sukan
negara.
Perlu diingat, bidang sukan
adalah industri yang bernilai berbilion ringgit jika diuruskan secara
profesional dan hebat.
Ia bukan sahaja melibatkan soal
penganjuran dan fasilitas semata-mata, tetapi juga membabitkan soal hak
penyiaran televisyen, pengiklanan, penajaan, perhubungan awam, perubatan sukan
dan sebagainya.
sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140128/re_05/Kemelut-politik-dalam-pengurusan-sukan#ixzz2rn5D8D9t
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment