Ad

Wednesday, 29 January 2014

Kekalahan buka pekung

 Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
 
Kapten Kelantan, Badri Radzi menggelecek bola untuk melepasi pemain-pemain PKNS dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin. - UTUSAN/Irwan Majid
KOTA BHARU - Kekalahan kepada PKNS dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV kelmarin membuka pekung kelemahan jentera Kelantan, terutama di bahagian tengah.

Malah pengendalinya, Steve Darby secara terbuka mengakui, ketiadaan pemain import Mohamed Shawky Aly dan tonggak tempatan Amar Rohidan akibat kecederaan merencatkan jentera tengah untuk melancarkan serangan.

Darby berkata, kehilangan perancangan itu memaksanya melakukan beberapa perubahan untuk pertemuan tersebut yang menyaksikan Kelantan tumpas di hadapan penyokong sendiri.

"Amat berbeza corak permainan kami tanpa Mohamed Shawky. Saya bukan sahaja kehilangan dia tetapi juga Amar Rohidan.

"Ini memaksa saya meletakkan Ahmad Fakri Saarani selaku pemain tengah dan dia tetap beraksi cemerlang biar pun bermain di luar posisi asalnya," kata Darby.

Dalam perlawanan itu, The Red Warriors terlebih dahulu membuka tirai jaringan hasil tandukan Ahmad Fakri pada minit ke-30, sebelum PKNS membalas dengan dua gol menerusi kaptennya, Mohd. Fauzan Dzulkifli dan Mohd. Aminuddin Mohd. Noor.

Darby berkata, dua gol dalam tempoh seminit yang dijaringkan oleh PKNS menafikan hasrat The Red Warriors untuk meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri.

Katanya, meskipun terlebih dahulu membuka jaringan, namun kesilapan yang dilakukan Kelantan berjaya diambil kesempatan oleh PKNS untuk meraih tiga mata menerusi dua gol pantas pada babak pertama.

Beliau bagaimanapun tidak mahu meletakkan kekalahan tersebut di atas bahu pemainnya selepas mereka memperagakan aksi bertenaga dengan mendominasi pada babak kedua perlawanan.

"Corak permainan PKNS begitu tersusun dan berdisiplin. Anda beritahu apa yang perlu saya buat.

"Saya ada dua penyerang (Mohammad Ghaddar dan Francis Forkey Doe) yang mempunyai banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol.

"Dua gol dalam tempoh satu minit itu betul-betul tidak masuk akal. Gol pertama PKNS berpunca daripada 'set piece', sesuatu yang saya tidak suka tetapi telah berlaku dalam perlawanan itu," jelasnya.

Darby mahu barisan pemainnya menjadikan kekalahan tersebut sebagai pengajaran menjelang aksi seterusnya.

"Kami tewas kepada PKNS disebabkan kesalahan pemain sendiri. Saya mahu mereka belajar daripada kesilapan ini, mengapa dua gol itu terhasil sedangkan lawan hanya ada tiga peluang tetapi kita ada 21 percubaan ke pintu gol mereka.

"Sukar bagi kami menembusi pintu gol lawan apatah lagi ada sepuluh pemain mereka berkampung di situ," ujarnya.

Tambahnya, pemain pertahanan dan penjaga gol pelawat harus diberikan pujian kerana mempamerkan aksi cemerlang untuk menafikan peluang Kelantan menambah gol.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140130/su_02/Kekalahan-buka-pekung#ixzz2rpsS9hPc © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment