Ad

Wednesday, 29 January 2014

Misteri jeritan di Banglo Kolonial

 
KRU Wujud Paranormal menghampiri Banglo Kolonial berusia lebih 40 tahun di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
DUDUK di banglo lama dan kosong seorang diri pada tengah malam sunyi membuatkan penuntut Universiti Selangor, Muhammad Fathinur Hadi Abdul Shukor, 20, atau lebih dikenali Hadi hanya mampu bertahan kira-kira 50 minit.

Masakan tidak sepanjang berada di bahagian belakang Banglo Kolonial itu, dia terpaksa melawan perasaan takut apatah lagi duduk di rumah berusia lebih 40 tahun yang dikelilingi semak-samun serta pelbagai rimbunan pokok.

Hadi ketika itu hanya dibekalkan 'walkie-talkie' dan beberapa peralatan elektronik antaranya telefon pintar yang digunakan untuk merakam video yang turut disaksikan secara langsung di wujudparanormal.blogspot.com.

Matanya yang melilau ke arah setiap sudut banglo yang terletak di Bukit Tunku, Kuala Lumpur itu tiba-tiba terhenti tatkala dikejutkan dengan suara jeritan yang sangat kuat selepas kira-kira 15 minit memulakan kajian.

Menurutnya, pada mulanya dia menyangka jeritan itu datangnya daripada kru Wujud Paranormal yang berada sejauh kira-kira 300 meter dari banglo tersebut, namun ternyata meleset selepas ketuanya, Mohd. Sofian Hasan, 32, atau Pian menghubunginya.

"Abang Pian bertanya sama ada saya menjerit atau tidak. Saya bagi tahu tidak... dan bertanya abang pun ada dengar jeritan? Ternyata bukan sahaja semua kru, malah yang menyaksikan secara langsung turut mendengar jeritan yang sama," katanya.

Hadi kembali menumpukan perhatian sambil memegang parabola iaitu alat yang digunakan untuk mendengar bunyi sejauh 100 hingga 200 meter.

Ketika kru Wujud Paranormal bersama wartawan S2 dan jurufoto sedang tekun menyaksikan siaran langsung itu, tiba-tiba Hadi menghubungi Pian memaklumkan dia sudah tidak mampu bertahan lagi.

Terkejut dengan reaksi Hadi, lantas Pian bertanya punca dia mahu berhenti, lalu Hadi memaklumkan dia tidak tahan kerana mengalami pelbagai gangguan.

Tidak mahu membiarkan keadaan bertambah teruk, semua bergegas mendapatkan Hadi yang kelihatan penat dan berpeluh.

Selepas selesai kajian tersebut, Hadi menceritakan pengalamannya sepanjang berada di situ termasuk mendengar suara dua lelaki bertengkar dalam tempoh tidak sampai seminit.

"Namun, saya tidak faham apa yang diperkatakan mereka kerana suara itu hanya dapat didengari sekejap sahaja," katanya.

Tambah Hadi, beberapa minit kemudian dia mula merasa seram sejuk tatkala melihat deretan pokok tiba-tiba bergoyang kuat walaupun ketika itu tiada angin bertiup.

"Yang peliknya hanya sebaris pokok yang bergoyang sementara pokok-pokok lain tidak pula menunjukkan sebarang perubahan," ujarnya.

Dalam pada itu Pian berkata, setiap sukarela yang menyertai kajian paranormal di lokasi tersebut, pasti ada mendengar suara jeritan yang sehingga kini tidak diketahui puncanya.

"Pernah sekali kami berjaya merakam gambar yang memaparkan imej seakan-akan susuk tubuh manusia sedang menunjuk ke arah banglo tersebut. Namun, tidak dapat dipastikan adakah imej itu merupakan jelmaan makhluk halus atau sebaliknya," katanya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140125/lk_03/Misteri-jeritan-di-Banglo-Kolonial#ixzz2rpmdVaww © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment