Ad

Wednesday 29 January 2014

Fosil tumbuhan purba berusia lebih 270 juta tahun ditemui di Besut

 
Yunus Abdul Razak (kiri) bersama Mohd. Shafeea Leman (tengah) menunjukkan fosil yang ditemui di kawasan bukit berhampiran projek pembinaan Ampangan Paya Peda, Hulu Besut, kelmarin.
BESUT 28 Jan. - Fosil tumbuhan purba yang dianggap luar biasa dan dianggarkan berusia antara 270 juta hingga 350 juta tahun ditemui dalam keadaan terawet di kawasan bukit berhampiran projek pembinaan Ampangan Paya Peda, Hulu Besut akhir tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk Yunus Abd Razak memberitahu, setakat ini fosil yang direkodkan dalam bentuk tempelan atau teraan di batu-batan di kawasan sedalam lebih 100 meter itu melibatkan tujuh jenis termasuk daun, bunga, akar, buah dan corak batang pokok.

Beliau menyifatkan penemuan itu suatu yang sangat bermakna yang antara lain bakal membuka lembaran sejarah baharu termasuk menentukan usia negara ini di samping kaitannya dengan kewujudan rantau ini.

Katanya, penemuan genus fosil tumbuhan yang telah lenyap itu penting bukan sahaja kepada ahli geologi di negara lain, malah akan dirujuk oleh pakar dari luar seperti Thailand, Vietnam dan China kerana pernah ditemui di negara berkenaan.

“Penemuan ini merupakan sebahagian bukti kukuh iaitu sebahagian timur Semenanjung, Thailand, Vietnam, Indonesia serta selatan China dulunya merupakan satu benua yang diberi nama Cathaysian," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Hasil penemuan itu didedahkan kepada media selepas beliau meninjau lokasi fosil di empangan Paya Peda dekat sini.

Turut hadir pakar fosil dari Jabatan Geologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Mohd. Shafeea Leman dan Pengarah Jabatan Mineral dan Geologi Terengganu, Mohd. Zukree Abd. Ghani.

Menurut Yunus, Paya Peda akan diberi penarafan luar biasa ketiga di negeri ini dari segi sumber warisan geologi selepas Bukit Keluang dan Bukit Bewah, namun Paya Peda lebih istimewa kerana wujudnya kepelbagaian genus fosil tumbuhannya.

‘‘Tumbuhan pada zaman tersebut terdiri daripada beberapa jenis pokok sahaja dan mudah dikenal pasti dan dipercayai tumbuh di kawasan paya yang luas serta padat.

‘‘Kesemua fosil tumbuhan itu ditemui semasa kerja pemotongan jalan untuk laluan sekitar kawasan pembinaan empangan itu yang dimulakan pada 2011," ujarnya.

Katanya, susulan itu, JMG Terengganu dengan kerjasama beberapa pihak telah melakukan beberapa siri kerja lapangan antaranya pemetaan geologi awal bagi mengenal pasti jujukan batu berfosil dan mendapati serpihan fosil tersimpan baik dalam jujukan syal berkarbon, berketebalan 50 meter.

Yunus menjangkakan mungkin terdapat fosil hidupan lain seperti ikan, serangga dan haiwan berkaki empat (Tetrapod) yang boleh ditemui kerana genus tumbuhan itu hidup di sekitaran berpaya atau tasik serta bercuaca panas pada zaman itu.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140129/dn_34/Fosil-tumbuhan-purba-berusia-lebih-270-juta-tahun-ditemui-di-Besut#ixzz2rmn3VBOC © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment