Ad

Thursday 30 January 2014

Usah leka tiga kemenangan awal Liga Malaysia

29 Januari 2014
Dollah Salleh
Dollah Salleh 
KETUA jurulatih pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dollah Salleh mengingatkan para pemainnya supaya tidak terlalu selesa walaupun mencatatkan tiga kemenangan dalam saingan awal Liga Malaysia, musim ini.
   
Dollah, yang membimbing Pahang meraih kejuaraan Piala Malaysia musim lepas berkata, beliau bimbang pasukan berkenaan akan mengalami kemerosotan jika bersikap terlalu selesa dalam menghadapi mana-mana pasukan selepas ini.
   
"PDRM ialah pasukan yang sedang meningkat naik, jadi saya tidak mahu para pemain ambil mudah selepas catat kemenangan demi kemenangan. Kalau pemain ambil mudah, itu yang merisaukan saya sekarang ini.
   
"Kalau mereka dapat mengekalkan semangat itu (mahu menang), saya percaya kita boleh pergi lebih jauh lagi," katanya kepada pemberita di Pusat
Perubatan Ara Damansara dekat sini, hari ini.    

Beliau dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan semalam selepas dinasihatkan doktor untuk mendapatkan rawatan mengenai masalah jantung yang dihadapinya.
   
PDRM bermula baik selepas mengalahkan SPA Putrajaya FC 1-0 pada pusingan pertama Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 21 Januari lepas.
   
Mereka meneruskan rentak kemenangan dengan menundukkan Johor Darul Ta'zim II dengan catatan 3-1 pada perlawanan pembukaan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang sebelum menang besar 5-1 ke atas pendatang baharu, Pulau Pinang pada aksi kedua liga di Stadium MBPJ pada Isnin.
   
Mengulas lanjut, Dollah yakin pembantunya Azman Adnan, yang juga bekas pemain kebangsaan mampu memikul tanggungjawab selaku jurulatih sementara, pasukan PDRM.
   
"Saya rasa pemain tiada masalah di bawah bimbingan Azman kerana mereka sudah faham dengan corak permainan yang saya gunakan. Namun, kalau boleh, saya sendiri mahu lihat aksi pemain saya pada perlawanan seterusnya," kata Dollah.
   
Ditanya mengenai masalah kesihatan yang dihadapinya, katanya beliau dinasihatkan doktor supaya berehat sekurang-kurangnya dua minggu sebelum
kembali aktif semula.
   
"Selepas habis perlawanan menentang JDT II tempoh hari, saya rasa sudah tidak sedap badan dan isteri menyuruh saya membuat pemeriksaan
kesihatan sebelum doktor menasihatkan saya supaya mendapatkan rawatan segera," katanya. - Bernama

SINAR HARIAN ONLINE 29.1.14

No comments:

Post a Comment