Ad

Tuesday, 28 January 2014

Terapi air panas semula jadi

Oleh Suliati Asri

Terlantar di katil hospital selama beberapa hari dan memerap di rumah untuk mendapatkan rehat sepenuhnya ketika dalam tempoh pemulihan diri nyata cukup meletihkan.

Walaupun cuti sakit dapat dimanfaatkan untuk merehatkan diri, hakikatnya ia memberi tekanan.



Bagi memulihkan tenaga, semangat dan keyakinan diri selepas melalui tempoh yang sukar, bercuti di destinasi yang bersesuaian adalah pilihan utama.

Tidak kira apa juga pilihan anda, berendam di air panas, mendekatkan diri dengan keindahan alam semula jadi atau menikmati pemandangan pantai yang membiru, matlamat untuk sihat sepenuhnya perlu dicapai.
 Foto
MENIKMATI kopi panas di tepi sungai cukup mengasyikkan.


Minggu ini Santai menyenaraikan beberapa destinasi menarik yang boleh dikunjungi anda untuk yang baru pulih daripada sebarang penyakit yang dihidapi.

1. FELDA Residence Hot Springs, Sungai Klah

Dikelilingi bukit bukau serta gunung yang menghijau, sungai dengan air yang sejuk mengalir dari gunung, FELDA Residence Hot Springs menawarkan sesuatu yang unik.

Dibuka pada 2003, ia menawarkan keseronokan mandi atau berendam di kolam air panas dan air gunung selain pemandangan indah di ladang kelapa sawit serta dusun buah-buahan.

Anda berpeluang mendapatkan rawatan kesihatan secara semula jadi dengan mandi-manda atau merendamkan kaki ke kolam air panas semula jadi.

Anda juga berpeluang melakukan refleksologi kaki yang cukup unik dengan berjalan di atas batu-batu kecil.

Anda juga boleh berjalan di titi kayu pelantar pada awal pagi dan ketika itu asap berkepul-kepul naik dari bawah pelantar yang mengalirkan air panas.

Dengan panjang 200 meter, melalui titi kayu itu akan dibawa anda melihat mata air panas yang mengalir ke seluruh kawasan pusat rekreasi itu.

FELDA Residence Hot Springs, Sungai Klah turut menawarkan kolam mandi air bagi membolehkan berehat dan memanjakan diri di spa yang menawarkan pelbagai perkhidmatan urutan tradisional.


2. Hot Springs & Spa, Lost World Tambun, Ipoh, Perak

Jika di waktu siang, anda berpeluang menikmati percutian yang meriah di taman tema air yang menyajikan pengalaman melawat mini zoo.

Namun di sebelah malam, suasana keriuhan bertukar menjadi tenang dan mendamaikan. Kedudukan Lost World of Tambun yang dikelilingi hutan batu kapur memberikan suasana tenang untuk anda yang baru pulih daripada sakit.

Berendam di kolam air panas yang memiliki enam kepungan utama dalam pelbagai bentuk dan saiz di waktu malam memang baik untuk kesihatan.

Hot Springs & Spa menawarkan keindahan semula jadi berlatarkan hutan dan bukit batu kapur berusia 400 juta tahun.

Air kolam air panas di Hot Spring & Spa ini juga adalah 100 peratus air mineral bawah tanah dari bukit berhampiran tanpa campuran kimia atau klorin.

Dengan suhu di antara 37 hingga 40 darjah Celsius, ia pasti memberi kelegaan sebaik menjejakkan kaki ke kolam air panas itu.

Jika mahu lebih kehangatan, anda boleh merasai nikmat kolam jakuzi di puncak bukit buatan manusia dengan suhu melebihi 42 darjah Celsius.

Anda juga boleh memilih kolam air panas kristal atau urutan tradisional di Crystal Spa bagi merawat tubuh yang keletihan. Berendam di gua stim atau merendam kaki di Foot Spa pasti mengujakan.


3. Mines Wellness Hotel

Lokasinya di tengah-tengah hutan konkrit Kuala Lumpur bukan penghalang untuk anda memulihkan badan atau mencari kedamaian selepas cuti sakit yang panjang.

Ini kerana Mines Wellness Hotel melakukan transformasi menjadi pusat sehenti kesihatan holistik yang menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan timur dengan menggabungkan perubatan tradisional Cina, Ayuvedic dan terapi kesihatan berdasarkan falsafah perubatan Barat.

Wellness Floor pula dilengkapi katil dan bantal organik, perhiasan lampu garam yang memancarkan ion negatif dan membantu membersihkan udara dan lantai kerikil untuk sesi refleksologi kaki di balkoni.

Pastinya apabila bangun daripada tidur, badan lebih segar.

Berjalan sambil menghirup udara segar di Taman Organik dan Taman Kesihatan yang ditanam pelbagai pelbagai tumbuhan hijau pasti mendamaikan.


4. Tanah Aina

Namanya yang diilhamkan daripada pemiliknya Shariffah Sabrina Syed Agil, Tanah Aina menggabungkan nama anak-anaknya sebagai destinasi percutian kesihatan.

Menawarkan konsep resort yang berlainan, terdapat lima destinasi Tanah Aina yang boleh dikunjungi iaitu Tanah Aina Farrah Soraya, Tanah Aina Farhana, Tanah Aina Fareena, Tanah Aina Farouq dan Tanah Aina Azareena.

Bercuti di tanah Aina, anda boleh memilih untuk tinggal di chalet keluarga, ‘dorm’, atau berkhemah. Menariknya anda bukan tidur beralaskan tanah tetapi tilam empuk.

Lebih menarik tidur malam anda akan lebih tenang dan damai dengan deruan air sungai yang mengalir memukul batuan kerana bagi anda yang memilih untuk tidur di dalam khemah, tepi sungai adalah lokasi yang sangat mengujakan.

Kehijauan alam semula jadi dan udara yang nyaman memberi peluang anda menghirup udara bersih.


5. Wadi Samrah

Mahu mencari kedamaian dan berehat di resort yang menyediakan suasana kampung, Wadi Samrah adalah lokasi sangat sesuai.

Terletak di hujung perkampungan Janda Baik, kawasan seluas 2.42 hektar itu menjanjikan kedamaian dan membuang aura negatif akibat tekanan seharian di kota.

Wadi Samrah adalah resort yang menawarkan konsep privasi serta eksklusif dengan ciri-ciri kedesaan.

Disambut dengan bunyi alunan air sungai dan pokok-pokok buluh yang tumbuh subur, Wadi Samrah adalah destinasi sesuai untuk merehatkan diri dan minda.

Menawarkan empat vila dan vila utamanya iaitu Damai hati menyediakan empat bilik, dua ruang tamu, ruang makan, dapur, beranda dan surau mini.

Dengan suasana desa yang permai dan kawasan yang lapang, pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di sini.

Kehijauan hutan hujan tropika di ketinggian 600 hingga 800 meter dari dasar laut, ia memberi suasana mendamaikan.


6. Terrapuri

Berlari di tepi pantai sambil dan bersantai melihat matahari terbenam adalah terapi yang cukup menarik.

Selain angin pantai yang bertiup sepoi-sepoi bahasa, suasana rumah tradisional berusia ratusan tahun itu memberikan kedamaian yang tersendiri.

Itulah yang dirasai apabila berkunjung ke Terrapuri Heritage Village di Penarik, Terengganu.

Dibina berteraskan seni bina empayar yang lenyap ribuan tahun lampau, resort ini menawarkan percutian unik.


Menikmati urutan tradisional di spa menghadap kebiruan Laut China Selatan itu menjana tenaga dan mengembalikan kesihatan anda secara total.

No comments:

Post a Comment