Oleh AHMAD ISYAFIQ MAD DESA
isyafiq.desa@kosmo.com.my
SEMPIT dan gelap sambil
sesekali kedengaran kibasan sayap sang kelawar di cuping telinga menambah
keresahan hati.
Tambahan pula sumber cahaya
hanya bergantung kepada sinaran matahari yang sesekali menerobos dari celahan
dinding gua yang berusia ribuan tahun ini.
Pergerakan juga terbatas kerana
pengunjung terpaksa berbaring di atas pelampung sejauh 200 meter semasa
menempuh laluan sungai yang terdapat di dalam Gua Merapoh.
Mujur topi keselamatan yang
dipakai lengkap dengan lampu hadapan dan berjaya melegakan tekanan apatah lagi
selepas menyaksikan keindahan permukaan batu gua berkenaan yang berkilau
bagaikan bintang di langit.
Demikian gejolak adrenalin yang
akan dilalui peserta yang melakukan aktiviti cave tubing selama 30 minit di Gua
Merapoh.
Seorang pengunjung, Akira
Baharuddin, 21, berkata tekanan yang dirasai sepanjang 30 minit menyusuri gua
berkenaan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Bagaimanapun katanya, saat tiba
di lokasi yang dituju dan menyaksikan sendiri keunikan garis-garis pada dinding
gua yang diselang-seli dengan batu bergemerlapan dapat mengubat seketika
perasaan gemuruh sepanjang menyusuri air di gua itu.
“Kami diberikan latihan ringkas
untuk membiasakan suhu tubuh dengan keadaan air gua. Air di gua ini juga
kelihatan seperti bertakung dan tidak berarus.
“Selepas beberapa minit bermain
dengan air, bermulalah perjalanan kami menyusuri air dengan melalui setiap
ruang di dalam gua,” ceritanya ketika ditemui Kosmo!.
Akira menambah, cabaran utama
cave tubing terletak pada ketahanan psikologi berbanding cabaran fizikal.
KEUNIKAN lapisan permukaan
dinding yang terbentuk secara semula jadi di Gua Tahi Bintang menarik perhatian
pengunjung.
Diapit
“Tubuh kita bagaikan diapit di
antara dinding gua dan permukaan air. Kalau ikutkan hati mahu sahaja saya
menjerit. Tetapi jika anda berbaring dan kendurkan otot perasaan itu hilang
serta-merta.
“Apatah lagi ketika anda
membuka mata dan menyalakan lampu hadapan di topi keselamatan, anda pasti
terpukau dengan ukiran dinding gua yang cantik,” jelasnya.
Aktiviti cave tubing sangat
sesuai bagi mereka yang ingin melihat keunikan dinding gua dengan cara yang
berbeza dan mencabar.
Dalam satu masa hanya lima
orang dibenarkan mengikuti aktiviti itu. Alatan yang diperlukan adalah
pelampung dan jaket keselamatan.
Namun, pengunjung perlu
bersedia untuk basah sepanjang aktiviti itu dilakukan.
Bagi pengunjung yang tidak
gemarkan aktiviti air, terdapat juga pilihan meneroka keindahan gua melalui
ekspedisi berjalan kaki.
Antara gua yang sering menjadi
pilihan dan buah mulut masyarakat tempatan ialah Gua 1001 Cerita yang terletak
kira-kira 50 meter dari lokasi cave tubing.
Mengapa ia memegang gelaran Gua
1001 Cerita sering menjadi tanda tanya dalam kalangan pelancong yang berkunjung
ke sini.
Permukaan batu dan tanah yang
sedikit lembap serta licin menyukarkan lagi pergerakan peserta. Walaupun tidak
mengenali antara satu sama lain, ukhuwah jelas terjalin dalam kalangan peserta
sepanjang usaha menawan Gua 1001 Cerita.
Selepas berhempas-pulas hampir
setengah jam melalui kawasan hutan renek yang basah dan ‘berperang’ dengan
pacat serta lintah, permukaan dinding gua yang dipenuhi lakaran purba menyambut
kedatangan pengunjung.
Ketika tiba di pintu masuk gua
berkenaan, Gua 1001 Cerita tiada bezanya berbanding gua-gua yang lain. Seperti
lazimnya, air menitik ke atas lantai bergema di dalam gua.
CORAK permukaan lantai dan
dinding Gua Tahi Bintang terhasil daripada hakisan air sejak 400 tahun lalu.
Tetapi keunikan dan tarikan gua
berkenaan terletak pada lakaran purba di dinding gua yang dipercayai berusia
lebih 100 tahun.
Kepelbagaian lakaran dan
karakter pada permukaan dinding gua sekali gus menjawab persoalan dalam
kalangan pengunjung mengapa gua itu menerima jolokan Gua 1001 Cerita.
Ketika majoriti pengunjung leka
merakamkan gambar dan foto lakaran di dinding gua, seorang pengunjung khusyuk
menyentuh dan meraba setiap lakaran yang ada.
Jelas riak pada wajahnya
mengekspresikan pelbagai persoalan, kadangkala mengerutkan dahi, kemudian
termenung jauh sebelum duduk dan memangku dagu.
Tara Yean, 24, memberitahu, dia
seakan-akan tergamam saat menyaksikan lakaran pada dinding gua tersebut.
Katanya, jika benar ia dilukis
oleh orang asli kuno seperti yang didakwa masyarakat tempatan di sini, ia
penemuan yang sangat berharga dan perlu dipelihara.
Muzium
“Inilah pertama kali dalam
hidup saya menyaksikan lakaran yang berusia hampir seabad dengan mata saya
sendiri. Malah, saya boleh sentuh dan membeleknya sepuas-puasnya.
“Pada kebiasaannya lakaran
purba seperti ini hanya wujud atau dilukis semula dalam bentuk arkib di muzium.
Perasaan sangat berbeza apabila berpeluang menyaksikan lukisan purba ini secara
langsung,” katanya.
Ujarnya lagi, dia turut
tergamam apabila menyaksikan setiap lukisan itu mempunyai gambaran masa hadapan
seperti usaha untuk menerbangkan manusia.
“Mungkin kita mempunyai satu
perasaan kononnya kitalah generasi yang penuh dengan idea dan impian yang
menggunung tinggi.
“Tetapi lakaran di sini menjadi
bukti bahawa manusia sebelum kita terlebih dahulu memikirkan pelbagai kaedah
termasuk menerbangkan manusia,” katanya sambil membelek lakaran seperti manusia
diikatkan pada sebuah layang-layang besar.
Selain Gua 1001 Cerita, Gua
Tahi Bintang turut mempunyai keunikannya kerana dinding gua tersebut dipenuhi
dengan ukiran semula jadi hasil hakisan air.
Ia digelar Gua Tahi Bintang
kerana hakisan dan ukiran pada gua terbentuk bagaikan tahi bintang yang sedang
jatuh.
PESERTA harus meredah kawasan
hutan sebelum melangkah masuk ke Gua Merapoh.
Gua Tahi Bintang juga adalah
gua yang paling mudah untuk dilawati dan menyimpan pelbagai fosil yang juga
melambangkan usia gua berkenaan.
Walaupun gua tersebut paling
mudah untuk dilawati, setiap batu gua yang memerlukan tempoh 10 juta tahun
membentuk satu lapisan boleh mati sekiranya disentuh.
Gua berkenaan yang berusia
hampir 400 juta tahun dipercayai pernah ditenggelami laut berdasarkan beberapa
fosil cengkerang dan batu karang yang tertanam di dalam dindingnya.
Peserta ekspedisi, Yuslinda
Fozi, 31, berkata, gua-gua yang terdapat di Merapoh perlu dipertahankan.
‘Kita terlalu mudah untuk tidak
menghargai kelebihan alam semula jadi yang berada di sekeliling kita berbanding
di negara luar. Apabila ia semakin pupus dan mula terancam baru kita hendak
ambil tindakan.
“Pada saya sekiranya langkah
lewat diambil untuk memulihara gua ini, tiada gunanya ia dipertahankan lagi,”
katanya.
KOSMO ONLINE 30.1.14
No comments:
Post a Comment