Kellie's Castle di Batu Gajah,
Perak tersergam indah di waktu siang namun menyeramkan ketika malam.
TUJUH tahun berkhidmat sebagai
penyelia di Kellie's Castle, pelbagai pengalaman seram dialami dan dilihat
sendiri dengan mata kasarnya. Namun, Thalha Mohammad Affendy, 39, atau lebih
dikenali dengan nama Yuris tidak canggung berdepan semua itu.
Pengalaman paling terkesan di
hatinya adalah tatkala menemani sekumpulan pelajar kolej swasta meninjau sebuah
bilik simpanan arak di istana lama berusia lebih 100 tahun itu yang pernah
menjadi milik William Kellie Smith.
Kellie Smith adalah seorang
rakyat Scotland yang berkahwin dengan Agnes, anak kepada pengusaha sebuah
perusahaan kapas terkenal di England ketika itu.
Pelajar berkenaan yang terdiri
daripada tiga lelaki dan seorang perempuan, pada awalnya, terlalu asyik berbual
di gerai berhampiran sehingga tidak sedar jam di tangan sudah menunjukkan pukul
8 malam.
Namun, disebabkan ingin merasai
pengalaman berada di Kellie's Castle pada waktu malam, Yuris membenarkan mereka
masuk secara percuma.
Lantas, mereka dibawa memasuki
bilik bawah tanah yang boleh memuatkan 3,000 botol wain itu dengan menuruni
laluan bertangga yang cukup gelap-gelita.
"Saya sengaja berpesan
kepada mereka supaya menutup telefon bimbit, jangan bercakap apa-apa serta dan
duduk diam di sana selama 10 minit.
"Namun, rancangan untuk
berada lebih lama di situ tidak menjadi apabila tak sampai dua minit, telefon
saya sendiri yang berdering. Rupa-rupanya, saya terlupa untuk menutupnya.
Kebetulan, rakan saya mengajak keluar minum, lalu saya mengambil keputusan
untuk terus membawa mereka keluar dari situ.
Namun, ketika semuanya bergerak
pantas menaiki semula anak tangga untuk beredar, langkah seorang pelajar wanita
terhenti.
"Dalam keadaan yang gelap
itu, dia merasakan ada sesuatu yang menghalang kakinya, seolah-olah seluarnya
ditarik. Kami panik dan cuba menenangkannya dengan memintanya membacakan surah
al-Fatihah.
"Paling menakutkan,
apabila dia mendakwa ada seseorang di belakangnya, sedangkan hanya saya sahaja
yang berada di situ. Malah, seorang lagi budak lelaki berteriak kerana pipinya
terasa seperti diusap dengan tuala lembut," tutur Yuris yang mengakui
meremang bulu romanya ketika itu.
Menurut Yuris, bukan semua
orang 'bertuah' dapat merasai pengalaman seram seperti itu. Namun katanya,
bilik anak perempuan kepada pasangan Kellie Smith dan Agnes yang bernama Helen,
juga seringkali menjadi bualan para pengunjung.
Yuris berkata, ada yang melihat
kelibat budak perempuan di sana. Malah, dia sendiri menyaksikan sekumpulan
rakan yang masuk ke istana itu dalam dua masa berbeza tetapi akhirnya
'bertekak' setelah sebahagian daripadanya mempertahankan dakwaan bahawa bilik tersebut
kelihatan cukup indah dihiasi lengkap dengan katil dan almari cermin, sedangkan
hakikatnya, kamar tersebut ternyata kosong.
"Saya pernah bertugas di
kaunter tiket dan dari jauh di bawah bukit, saya melihat sepasang kekasih sibuk
bergambar di bilik bawah. Yang wanita berdiri di bingkai tingkap sementara yang
lelaki mengambil gambar.
"Namun, tiba-tiba mereka
keluar dari tempat itu. Lelaki tersebut menunjukkan lensa kameranya kepada saya
dan teman wanitanya tidak kelihatan di dalam bingkai tingkap tersebut,"
katanya.
Tambah Yuris, terdapat juga
sekumpulan empat orang Cina baru sahaja membeli tiket, namun membatalkan hasrat
mereka untuk melawat istana lama itu kerana mendakwa ternampak satu lembaga
hitam melintas masuk ke bilik simpanan arak.
Bagaimanapun, katanya,
sepanjang berkhidmat di Kellie's Castle, tidak pernah seorang pun yang dirasuk,
malah bayi berusia enam bulan juga boleh masuk dan keluar dari tempat berkenaan
tanpa sebarang masalah.
Meneruskan bicara, Yuris
berkata, dia juga pernah didatangi oleh seorang lelaki India dalam keadaan agak
ketakutan apabila maklumat bertulis yang diperincikan pada setiap kertas
bersaiz A4 dan ditampal di dinding setiap bilik, telah hilang dalam bidikan
lensa kameranya.
Malah katanya, seorang
mahasiswa yang teringin sangat untuk melawat Kellie's Castle pernah menemuinya
sebaik sahaja menamatkan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri
Iskandar, sebelum kali terakhir meninggalkan Perak untuk pulang ke Johor.
Menurut Yuris, mahasiswa itu
merayu kepadanya untuk dibenarkan masuk pada pukul 6.30 petang walaupun waktu
operasi telah berakhir setengah jam sebelum itu.
"Saya tak sampai hati lalu
membenarkannya masuk. Dia teruja merakam pelbagai gambar di ruang santapan di
istana itu sebelum terkejut melihat satu imej bayang-bayang hitam keluar dengan
muka, mata dan mulut yang jelas di kameranya," katanya.
Dalam pada itu, Yuris berkata,
sepanjang melakukan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan di Kellie's
Castle, dia pernah merasai tangga yang digalas di bahu untuk dibawa ke sebuah
pondok stor berhampiran, telah ditarik oleh sesuatu ke belakang.
"Banyak kejadian aneh
biasanya berlaku pada hari Selasa dan saya pun tidak tahu kenapa. Kami juga
pernah didatangi oleh sebuah keluarga yang mempunyai seorang anak perempuan
berusia sembilan tahun dan namanya Anisah.
"Apabila sampai di depan
Kellie's Castle, Anisah mendakwa dapat melihat banyak 'hantu' di situ. Seorang
rakan saya kemudian bertanyakan kepada ibu Anisah sama ada benar anaknya itu
mempunyai keistimewaan melihat 'benda-benda halus' dan dia mengakuinya.
"Lantas, rakan saya
meminta kebenaran daripada wanita berkenaan untuk membawa Anisah ke dalam
istana lama itu bagi 'mengujinya'.
"Dia menemani Anisah
menuju ke bilik simpanan arak tetapi Anisah tidak mahu turun ke bawah kerana
ternampak seekor monyet garang seolah-olah hendak menerkam. Kemudian, Anisah
dibawa melawat ke bilik-bilik lain dan mengatakan ada melihat peti besi dan
emas di situ.
"Setibanya di bilik tetamu
di tingkat atas sekali, Anisah berhenti dan tidak mahu masuk ke dalam kerana
mendakwa tidak mahu mengganggu seorang lelaki tua yang sedang bersolat.
Kemudian, kami teringat kata-kata sekumpulan sami yang juga pernah datang ke
sini pada 2011 dengan niat untuk mencari siapa 'penjaga' istana lama ini.
"Mereka telah naik sampai
ke tingkat atas dan kemudiannya turun semula ke kaunter tiket untuk memohon
maaf kepada kami. Salah seorang daripada sami itu berkata, terdapat lelaki yang
bersembahyang di bilik atas menegur perbuatan mereka yang tidak 'meminta izin'
terlebih dahulu kepada pengurus premis tersebut.
"Kalau diikutkan, memang
kami tidak percaya, tetapi, setelah apa yang diperkatakan mereka itu ada
keselariannya, mungkin juga ada kebenarannya," katanya.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140125/lk_02/Lelaki-bersolat-penunggu-Kellies-Castle#ixzz2rpkqZJwv
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment